Kesebelasan utama, ramalan, taktik, berita pasukan dan statistik penting.
Menjelang pertemuan menentang Leicester City malam ini, Arsenal pastinya mahu meneruskan aksi cemerlang selepas berjaya mencatatkan kemenangan dalam dua perlawanan terakhir.
Malah, usaha itu juga disokong dengan fakta mahu mengekalkan rekod tanpa kalah mereka kepada sembilan perlawanan dalam semua pertandingan.
Momentum sering menjadi faktor utama dalam hal bolasepak, prestasi semasa pasukan sering dianggap sebagai label ataupun penentu kekuatan mereka.
Dalam kes Arsenal, mereka adalah salah satu pasukan yang berada dalam momentum ataupun dalam prestasi terbaik ketika ini dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Sejak kekalahan 5-0 di tangan Manchester City, kelab dari Utara London ini telah memenangi enam daripada lapan perlawanan mereka dalam semua pertandingan dan merekodkan tanpa sebarang kekekalahan sepanjang tempoh tersebut.
Namun dengan rekod kesemua itu, adakah skuad bimbingan Mikel Arteta sudah bersedia dan cukup bagus sebenarnya dalam mengharungi musim ini?
Kita akan mengetahuinya tidak lama lagi apabila The Gunners bertanding ke Stadium King Power untuk menentang Leicester City malam ini, jam 7.30 malam waktu Malaysia.
Ketika Arsenal merekodkan lapan perlawanan tanpa kalah, mereka hanya menentang satu sahaja pasukan daripada enam pasukan kuasa besar yang tulen iaitu Tottenham Hotspur.
Enam daripada lapan lawan yang dihadapi kini sama ada berada di bahagian bawah carta liga atau berada di liga bawahan.
Lawan menanti Arsenal malam ini, menentang anak buah Brendan Rodgers yang hanya mengumpul 14 mata dalam sembilan perlawanan musim ini (sama mata dengan Arsenal ketika ini) boleh dikatakan penentu kekuatan skuad Arteta.
The Foxes musim ini dilihat bergelut di bahagian pertahanan mereka, setelah dibolosi dengan jumlah gol tertinggi dalam senarai 10 pasukan teratas (berkongsi jumlah bolos yang sama dengan Manchester United - 15).
Bagaimanapun, anak buah Rodgers ini bersedia menghadapi Arsenal dengan moral tinggi selepas mencatatkan empat kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan.
Kesebelasan utama, ramalan, taktik, berita pasukan dan statistik penting.
Dalam permulaan kempen yang huru-hara (sebagaimana juga Arsenal), Brendan Rodgers akan menuntut kestabilan pertahanan daripada pasukannya malam ini.
Dan dengan pasukan Arsenal hanya menjaringkan satu gol dan mencatatkan sembilan percubaan tepat ke sasaran di tempat lawan, ia boleh menjadi lawan ideal The Foxes untuk meningkatkan kualiti pertahanan mereka.
Bagaimanapun, bekas pengendali Liverpool itu kehilangan beberapa pemain pertahanan utama seperti Wesley Fofana dan James Justin.
Manakala pemain bintang mereka, Caglar Soyuncu juga bergelut dengan prestasi dan perlu mencari semula rentak serta kesefahaman bersama Jonny Evans di barisan belakang Leicester City.
Dengan Fofana yang cedera dan pemain baharu, Jannik Vestergaard masih belum mampu memberikan aksi yang memuaskan, Rodgers mungkin kekal dengan Daniel Amartey di sebelah kanan dalam formasi tiga pemain pertahanan.
Bantuan pada jentera pertahanan akan disokong atau diberikan oleh pemain bek sayap seperti Ricardo Pereira dan Timothy Castag.
Bagaimanapun, kekuatan utama Leicester terletak pada jentera tengah mereka yang dilihat lebih sempurna pada musim ini.
Walaupun dihimpit dengan kecederaan dengan pemain seperti Wilfred Ndidi dan Nampalys Mendy, pemain bintang mereka Youri Tielemans telah membina perkongsian yang menggerunkan bersama Boubakary Soumare.
Kedua-dua mereka menguasai bahagian tengah ketika bertemu Manchester United dan mengharapkan keputusan yang sama menentang bahagian tengah Arsenal malam ini.
Sementara itu, dalam jentera serangan mereka, James Maddison kekal sebagai permulaan yang berkemungkinan dalam slot nombor sepuluh.
Keupayaan pemain Inggeris itu menghasilkan umpanan berfungsi dengan baik untuk penyerang oportunis dan pantas seperti Jamie Vardy dan Kelechi Iheanacho.
Walau bagaimanapun, Rodgers tidak mempunyai kekurangan pilihan dan sentiasa boleh menggunakan pemain seperti Patson Daka yang lebih mantap.
Pemain Zambia itu berada dalam prestasi terbaik dengan penglibatan dua gol dalam dua perlawanan terakhir liga.
Memiliki kepantasan, dinamik dan gaya permainannya yang mantap boleh menyukarkan hidup Ben White, yang sering tidak berkesan dalam pertarungan satu lawan satu.
Barisan Kemungkinan (3-4-1-2): Schmeichel; Amartey, Evans, Soyuncu; Pereira, Tielemans, Soumare, Castagne; Maddison; Iheanacho, Vardy.
Arsenal
Kekurangan mencipta peluang telah menjadi masalah utama Arsenal musim ini.
Perkara ini tidak dapat dinafikan lagi setelah kita dapat menyaksikan anak buah Arteta bergelut untuk mencari peluang menjaringkan gol mahupun percubaan.
Ini juga ditambah dengan prestasi Pierre-Emerick Aubameyang yang juga tidak banyak membantu.
Perkembangan ini menyaksikan Arteta telah menggunakan khidmat Alexandre Lacazette bersama pemain antarabangsa Gabon itu dalam perlawanan baru-baru ini.
Pemain Perancis itu biasanya beroperasi dalam peranan yang lebih ke dalam di mana dia biasanya digunakan sebagai pemain yang membuka ruang kepada Bukayo Saka dan Emile Smith Rowe di final third.
Kelebihan Arsenal dilihat mereka lebih berdisiplin di bahagian tengah dan pertahanan.
Mereka telah merehatkan ramai pemain utama mereka dalam perlawanan pertengahan minggu itu yang bermakna Thomas Partey akan memulakan perlawanan kali ini dan berharap dapat mengatur perlawanan serta menggunakan kualiti box-to-box yang dimilikinya dengan baik.
Bekas bintang Atletico Madrid itu mungkin akan bekerjasama dengan pemain baharu Albert Sambi Lokonga, menggantikan Granit Xhaka yang cedera.
Manakala Ainsley Maitland-Niles dan Mohamed Elneny boleh menjadi pilihan lain untuk Mikel Arteta pada perlawanan ini.
Bagi bahagian pertahanan, khidmat Kieran Tierney masih diragui untuk perlawanan ini.
Pemain antarabangsa Scotland itu telah terlepas beberapa perlawanan dan berehat pada pertengahan minggu untuk memberi laluan Nuno Tavares.
Ini memberi gambaran bahawa bekas bintang Celtic itu mungkin tidak cukup cergas untuk bermain menentang Leicester City.
Pemain baharu The Gunners musim ini, Ben White dijangka cukup cergas untuk bermula bersama Gabriel Magalhaes di tengah barisan pertahanan Arsenal yang melindungi Aaron Ramsdale di gawang.
Barisan Kemungkinan (4-2-3-1): Ramsdale; Tomiyasu, White, Gabriel, Tavares; Partey, Lokonga; Saka, Lacazette, Smith Rowe; Aubameyang.
Statistik Penting
- Selepas 22 perlawanan tanpa kemenangan menentang Arsenal dalam Liga Perdana antara 1995 dan 2018, Leicester City telah memenangi empat daripada tujuh perlawanan terakhir menentang The Gunners dalam pertandingan itu.
- Arsenal menang dua kali di tempat lawan menentang Leicester City musim lalu : 2-0 dalam Piala Liga dan 3-1 dalam Liga Perdana. Mereka tidak memenangi tiga perlawanan di tempat lawan berturut-turut menentang The Foxes dalam semua pertandingan sejak September 1925.
- Leicester telah memenangi dua perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris, menewaskan Manchester United dan Brentford dan mencari tiga kemenangan liga berturut-turut buat kali pertama sejak memenangi tiga perlawanan pertama mereka pada 2021.
- Setelah tewas berturut-turut dalam perlawanan Liga Perdana pada awal Februari (vs Wolves & Aston Villa), Arsenal sejak itu hanya tewas dua daripada 11 perlawanan liga mereka di tempat lawan (W6 D3). Bagaimanapun, The Gunners hanya memenangi satu daripada 12 perlawanan terakhir Liga Perdana mereka pada hari Sabtu yang bermula sebelum 1 petang, menewaskan Fulham pada MD1 musim lalu.
- Arsenal hanya menjaringkan satu gol dalam empat perlawanan di tempat lawan Liga Perdana mereka setakat ini musim ini, dengan hanya Norwich (6) yang mempunyai lebih sedikit percubaan ke sasaran berbanding The Gunners (9).
Ramalan
Leicester City 1-0 Arsenal
Perlawanan antara Leicester City dan Arsenal ini menjanjikan pertemuan dengan jaringan yang rendah.
The Foxes begitu mudah dibolosi musim ini dengan rekod tertinggi dikalangan 10 teratas (setakat ini), tetapi mereka menentang pasukan yang mempunyai mentaliti bertahan dan pada masa yang sama, The Gunners kekurangan kreativiti di barisan hadapan.
Untuk itu, penulis menjangkakan Arsenal bergelut untuk mencari kejayaan sementara Leicester kekal sebagai pilihan untuk menang kerana jentera serangan mereka yang unggul dan memiliki kelebihan selaku tuan rumah.
Pun begitu, penulis berharap ramalan penulis juga silap mengenai pertemuan kali ini kerana didalam hati, sememangnya mengharapkan kemenangan buat The Gunners.
#COYG - apa kata anda?