Vieira nyaris malukan Arsenal

Patrick Vieira merupakan juara Liga Perdana Inggeris sebanyak tiga kali sebagai kapten Arsenal  hampir-hampir memalukan bekas pasukannya dalam kepulangan ke Emirates pagi tadi.

Walaupun dipinggirkan bekas kelabnya untuk peranan sebagai jurulatih, namun beliau membuktikan bahawa dirinya memiliki sentuhan berbisa dalam memikul peranan tersebut.

Vieira hampir menikmati kepulangan menggembirakan ke Emirates namun mujurlah jaringan penyamaan Alexandre Lacazette pada lewat perlawanan (minit ke-96) menyelamatkan Arsenal daripada dimalukan ketika seri 2-2 menentang Crystal Palace.

Gol minit ketujuh Pierre-Emerick Aubameyang meletakkan The Gunners di depan, tetapi rekod lima perlawanan tanpa kalah Arsenal hampir dimusnahkan The Eagles yang bangkit mendahului menerusi jaringan babak kedua oleh Christian Benteke dan Odsonne Edouard.

Bagaimanapun skuad kendalian Vieira gagal bertahan untuk mengekalkan kelebihan yang ada apabila Lacazette bijak menggunakan kesempatan pada saat-saat akhir untuk gol penyamaan.

"Ia sangat hampir tetapi kami sudah berkata begitu terlalu kerap. 

"Saya amat kecewa kerana cara pasukan bangkit di babak kedua, mereka berhak untuk menang," kata Vieira yang kini seri lima kali dalam lapan perlawanan liga musim ini.

Satu mata dikongsi itu melonjak Arsenal ke tangga ke-12 Liga Perdana Inggeris, namun ianya masih belum meyakinkan untuk melihat skuad kendalian Arteta menjadi pencabar bagi kelayakan Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Krisis Arsenal selepas merakam permulaan terburuk liga dalam tempoh 67 tahun sedikit reda apabila mereka mengumpul 10 daripada 12 mata ditawarkan.

"Selepas gol berkenaan kami tidak menguasai permainan dengan baik. Kami tidak tenang dan mengawal permainan.

"Apa yang positif ialah kami terus berusaha. Mereka kekal yakin sehingga akhir. 

"Begitulah cara kami mendapatkan mata. Saya kecewa dengan keputusan ini. 

"Kami mensia-siakan kelebihan," kata Arteta.

Lacazette memanfaatkan peluang terhidang pada saat-saat akhir untuk gol penyamaan.


Post a Comment

Previous Post Next Post