Conte dan Paratici melihat pemain sebagai pengganti ideal dengan Tottenham 'sedia menyerang' untuk perpindahan.
Dusan Vlahovic mempunyai baki lebih kurang 18 bulan dalam kontraknya di Fiorentina dan enggan menandatangani pembaharuan kontrak, mengakibatkan laporan mengaitkannya dengan beberapa kelab di seluruh Eropah.
Tottenham Hotspur, Arsenal dan Manchester City dinamakan sebagai mereka yang berhajat untuk melamar bintang Serie A itu dari England.
Dan awal minggu ini, Calciomercato melaporkan pasukan The Gunners dan Pep Guardiola telah ‘menunjukkan minat’, tetapi Spurs mendahului pesaing Inggeris mereka dalam perlumbaan untuk menandatangani pemain berusia 21 tahun itu.
Ia juga menyatakan Spurs adalah saingan utama Juventus untuk menandatangani penyerang yang telah meledak 11 gol dalam 14 penampilan Serie A setakat ini.
Manakala, wartawan Niccolo Ceccarini, yang menulis dalam ruangannya untuk TuttoMercatoweb menjelaskan La Viola merancang untuk membawa masuk pemain sayap dan penyerang baharu pada Januari nanti.
Mengenai masa depan pemain antarabangsa Serbia itu, dia berkata 'tiada berita' untuk dilaporkan setakat ini.
Difahamkan ketua Fiorentina, Rocco Commisso akan mengambil kira situasi ini dengan mendapatkan dan mendengar pandangan daripada Pengurus Besar, Joe Barone serta Pengarah Sukan, Daniele Prade terlebih dahulu.
Ceccarini turut mendakwa kedua-dua, Antonio Conte dan Fabio Paratici telah mengenal pasti Vlahovic sebagai penyerang tengah untuk masa depan dan pewaris ideal kepada Harry Kane.
Penyerang kebangsaan England itu 'ditakdirkan' untuk pergi meninggalkan mereka pada musim panas depan, dengan Manchester City berada dalam kedudukan utama untuk menandatangani Kane yang telah bersama Spurs sejak tahun 2004.
Ceccarini seterusnya menambah Spurs dan Juve 'sedia menyerang' untuk mendapatkan khidmat Vlahovic.
Walaupun Tottenham dan Old Lady mempunyai rancangan untuk Januari, namun perkara itu dilihat tidak semudah seperti yang dijangka.
Sukar untuk menyaksikan pemain Serbia itu meninggalkan Fiorentina pada jendela pertengahan musim, sesuatu yang tidak mungkin terjadi ketika ini.