Pemain tengah sedia menolak perpindahan ke Newcastle dan Tottenham kerana Manchester City.
Luka Modric tidak berminat untuk berpindah ke Newcastle United atau Tottenham jika dia meninggalkan Real Madrid pada musim panas depan, tetapi dengan senang hati akan menyertai Manchester City.
Demikian menurut SuperDeporte, yang mengatakan pemain Croatia itu sedang mempertimbangkan pilihannya kerana rundingan pembaharuan kontrak dengan Madrid dilaporkan terbantut.
Mereka menjelaskan bahawa Florentino Perez telah bekerja selama berminggu-minggu untuk memperbahrui kontrak Modric, yang akan tamat pada akhir musim.
Walaupun mahu memperbaharui kontrak Modric, namun perjanjian itu masih belum dapat dimuktamadkan kerana mereka hanya menawarkan lanjutan setahun, yang menjadi amalan biasa mereka untuk pemain berusia lebih 30 tahun.
Itu bukan sesuatu yang diharapkan Modric kerana dia menganggap bahawa dia merupakan pemain penting untuk Madrid dan itu patut mendapat pengiktirafan serta dihargai kelab, walaupun dia berusia 36 tahun.
Ancelotti mempercayai pemain itu, tetapi Madrid tidak mahu menawarkan perjanjian lanjutan pada ketika ini dan ini boleh menyebabkan pemain tengah itu berpindah, seperti yang dilakukan Sergio Ramos pada musim panas lalu.
Modric ketika ini juga dilaporkan mempunyai peminat dan mereka difahamkan hanya 'menunggu' dia membuat keputusan mengenai masa depannya.
Newcastle United, 'orang kaya baharu' Eropah adalah salah seorang daripada mereka, begitu juga dengan bekas kelabnya Tottenham.
Modric kelihatan tidak begitu tertarik dengan kedua-dua kelab Inggeris itu tetapi memikirkan perpindahan ke Manchester City kerana kaitan mereka di tempat lain.
Luka Modric dinobatkan selaku pemenanga Ballon d'Or 2018. |
Idea perpindahan ke Liga Perdana dan seterusnya ke New York City, salah satu daripada 'cawangan' kelab dalam portfolio City Group, adalah sesuatu yang menarik kepada pemain veteran itu.
Dia masih belum membuat keputusan muktamad tentang masa depannya dan beberapa minggu akan datang akan menjadi kunci untuk melihat bagaimana keadaan itu diselesaikan.
Modric dan Madrid masih mahu mencari persefahaman, tetapi jika itu tidak berlaku, dia nampaknya akan melihat kembali ke Liga Perdana dan Manchester City, tetapi bukan Newcastle atau Tottenham.