Arsenal capai kata sepakat dengan Fiorentina untuk Vlahovic.

Arsenal capai persetujuan awal untuk penyerang setelah perbincangan diadakan beberapa hari lalu, namun memerlukan pengorbanan kewangan yang besar.

The Gunners dilaporkan telah mencapai persetujuan awal dengan Fiorentina untuk penyerang Dusan Vlahovic tetapi masih belum selesai dengan pemain itu, yang masih belum memberikan kata putus.

Demikian menurut Gianluca di Marzio, yang mengatakan Arsenal bersedia mengeluarkan belanja besar untuk mendapatkan penyerang yang menerima penilaian tinggi.

Vlahovic adalah salah seorang pemain muda yang mendapat penilaian tinggi di Eropah pada masa ini, setelah mempamerkan beberapa siri persembahan yang mengagumkan untuk Fiorentina.

Perkara itu menyebabkan dirinya menjadi tarikan selain menghasilkan ramai peminat untuk mengikuti perkembangannya.

Hampir semua kelab besar di Eropah ingin menandatanganinya tetapi nampaknya Arsenal telah membuat langkah pertama untuk mengalahkan mana-mana pesaingnya.

Di Marzio melaporkan bahawa Arsenal telah pun bertemu dengan pihak pengurusan tertinggi Fiorentina untuk membincangkan urusan perpindahan itu di London dalam beberapa hari lalu.

Arsenal ingin membawa Vlahovic ke Emirates pada Januari dan nampaknya ada perjanjian awal antara kedua-dua kelab telah dipersetujui.

Namun, perkara yang sama tidak boleh dikatakan mengenai situasi antara Arsenal dan pemain itu, di mana masih terdapat ruang dan belum ada persetujuan yang telah dicapai.

Malah, kedua-dua Vlahovic dan ejennya lebih suka menunggu sehingga ada lebih banyak tawaran menarik untuknya, walaupun itu bermakna mereka terpaksa menunggu sehingga Jun depan.

Itu juga menjadi masalah buat Fiorentina yang ingin menyelesaikan perpindahan penyerang itu seawal Januari supaya mereka boleh merancang masa depan dan mencari pengganti secepat mungkin.

Mereka nampaknya gembira untuk menjual kepada Arsenal tetapi The Gunners perlu meyakinkan Vlahovic untuk berpindah sebelum mereka boleh membuat perjanjian.

INFO RINGKAS

Berusia 21 tahun dan dilahirkan di Belgrade (Serbia), Vlahovic mula bermain bolasepak di sekolah bolasepak Altina Zemun, di mana dia menghabiskan kebanyakan masa dengan generasi yang lebih tua.

Kemudian dia bersama OFK Beograd selama tiga bulan dan juga membuat satu penampilan untuk Red Star Belgrade, sebelum menyertai Partizan pada musim panas 2014.

Vlahovic menandatangani kontrak profesional pertamanya dengan Partizan pada 2015, ketika dia baru berusia 15 tahun.

Pada awal 2016, Vlahovic menyertai pasukan utama di bawah jurulatih Ivan Tomic dan menyarung jersi nombor 9.

Dia membuat penampilan sulung SuperLiga Serbia pada 21 Februari 2016 menentang OFK Beograd, sebagai pemain paling muda dalam sejarah Partizan.

Pada Jun 2017, Vlahovic menandatangani kontrak awal untuk tempoh lima tahun dengan Fiorentina, yang mana ia akan menjadi rasmi dan berkuatkuasa pada hari lahirnya yang ke-18, iaitu pada 28 Januari 2018.

Vlahovic secara rasminya dibeli oleh Fiorentina pada 22 Februari 2018, memilih untuk memakai jersi nombor 18, namun disebabkan oleh norma pentadbiran, dia tidak boleh bermain sehingga 1 Julai 2018.

Pada 25 September 2018, Vlahovic membuat penampilan sulung untuk Fiorentina, dalam aksi Serie A yang mana mereka tewas 2–1 kepada Inter Milan.

Dan pada 18 Ogos 2019, Vlahovic menjaringkan gol pertamanya bersama Fiorentina, dua gol dalam kemenangan 3–1 menentang Monza pada pusingan ketiga Coppa Italia 2019–20.

Pada 13 Mac 2021, Vlahovic menjaringkan hatrik separuh masa pertama dalam kemenangan 4–1 di tempat lawan ke atas Benevento dan dia menjaringkan satu lagi hatrik pada 31 Oktober 2021, kali ini dalam kemenangan 3–0 ke atas Spezia.

Musim ini, dia telah membuat 12 penampilan untuk Fiorentina dalam semua pertandingan dengan meledakkan 10 jaringan untuk setakat ini.

Saingan Penampilan Jaringan Bantuan Minit Beraksi
Serie A 11 8 1 981'
Italy Cup 1 2 - 90'
JUMLAH 12 10 1 1.071'

Semenjak mewakili Fiorentina, Vlahovic telah membuat 96 penampilan dalam semua pertandingan dan menyumbang 39 gol selain 5 bantuan gol.

Masih muda namun mempunyai statistik menakjubkan dalam resumenya. Maka tidak hairanlah mengapa dia menjadi tarikan banyak pihak untuk menandatanganinya.

Malah dengan rekod yang dimilikinya itu, tidak mengejutkan mengapa Fiorentina meletakkan harga yang tinggi untuk pemain ini (80 juta euro - sekitar 69 juta pound sterling), melebihi harga pasaran semasa yang dianggarkan berada sekitar 50 juta euro (kira-kira 43 juta pound sterling).

Itulah nilai (80 juta euro) yang perlu dibayar Arsenal untuk mendapatkan pemain ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post