Arsenal kini berada di barisan hadapan untuk menandatangani Vlahovic.
Tiga hari lalu, laporan dari Itali menjelaskan Arsenal telah mencapai ‘perjanjian awal’ dengan Fiorentina untuk perpindahan Dusan Vlahovic.
The Gunners yang mahukan penyerang itu disokong oleh La Nazione, yang mengatakan kelab Utara London dan Bayern Munich adalah dua pasukan terkini tampil untuk menandatangani bintang Serie A itu.
Semasa rehat antarabangsa yang sedang berlangsung ketika ini, pemimpin La Viola telah meletakkan asas untuk urusan jual beli kelab tersebut untuk jendela perpindahan musim sejuk, yang mana ia berkait rapat dengan apa yang akan berlaku kepada masa depan pemain berusia 21 tahun itu.
Hasrat Fiorentina adalah untuk mengekalkan pemain antarabangsa Serbia itu sehingga akhir musim ini, tetapi dijangka akan melakukan perubahan mendadak dalam pendirian mereka, sekiranya menerima tawaran yang sukar untuk ditolak pada Januari nanti.
Angka €70 juta dan ke atas dianggap sebagai nilai asas yang ditetapkan mereka dengan tawaran itu dianggap sesuatu yang tidak mampu ditolak kelab Itali itu.
Dikatakan pasukan The Gunners kini berada di barisan paling depan untuk mendapatkan khidmat Vlahovic.
Namun, Arsenal bukanlah satu-satunya kelab yang berminat kerana Tottenham Hotspur, Manchester City, Bayern dan terutamanya Juventus juga bersedia untuk menandatangani pemain itu.
Sekiranya Arsenal atau mana-mana kelab lain membida €70 juta, maka menurut laporan itu, Fiorentina akan mempertimbangkan untuk memutuskan hubungan dengan pemain penyerang itu.
Berdepan dengan kemungkinan kehilangan Vlahovic, pihak Itali sudah pun mengenal pasti pengganti berpotensi.
Julian Alvarez dari River Plate, Arthur Cabral dari FC Basel, Gianluca Scamacca dari Sassuolo dan Borja Mayoral dari Real Madrid (kini dipinjamkan ke AS Roma) dinamakan sebagai sasaran untuk Fiorentina.