Arsenal mempunyai senarai panjang pemain yang menjadi sasaran menjelang jendela perpindahan musim sejuk dan salah seorang daripadanya ialah Noa Lang dari Club Brugge (FCB).
Menurut Voetbal 24, pihak pengurusan FC Bruges terbuka untuk perbincangan mengenai potensi penjualan Lang, setelah pemain itu dikatakan mahu berpindah.
Wakil pemain berusia 22 tahun itu sedar bahawa masa depan Lang akan menjadi lebih baik sekiranya dia menyertai kelab lain dengan Arsenal dan AC Milan disebut sebagai destinasi berpotensi.
Bagi pemain itu sendiri, dia turut menyedari perkara itu kerana ianya turut akan membantunya mencapai matlamat lain.
Salah satunya ialah, dengan menyertai kelab yang lebih besar, ia akan meningkatkan peluang dirinya untuk mendapatkan tempat dalam skuad Belanda bagi kejohanan Piala Dunia 2022.
Lang sudah memberikan gambaran tentang apa yang dia boleh lakukan di peringkat antarabangsa tetapi dia tahu bahawa dia hanya boleh mengekalkannya dengan menyertai kelab yang lebih besar.
Telah lama dipercayai bahawa Arsenal mempunyai minat terhadap Lang walaupun ia akan menelan kos yang tinggi.
Menurut laporan, FC Bruges mungkin meminta sebanyak £33 juta untuk pemain sayap Belanda itu dan pada musim panas lalu, The Gunners pula dilaporkan bersedia menawarkan hanya sebanyak £25 juta untuk Lang.
Laporan itu menambah bahawa FC Bruges tidak akan menghalang Lang untuk berpindah sekiranya tawaran yang sesuai diterima mereka.
Manakala AC Milan pula difahamkan bersedia untuk menyaingi Arsenal bagi mendapatkan khidmat pemain Belanda itu.
Memandangkan prestasi Lang bersama FCB agak menarik, bayaran yang diminta mungkin akan menjadi lebih tinggi.
Sejak menyertai FCB secara tetap (selepas semusim beraksi secara pinjaman musim lalu), Lang telah merekodkan 21 gol dan 17 bantuan dalam 56 penampilan dalam semua pertandingan.
Selain itu, dia juga pernah tampil dua kali untuk pasukan kebangsaan Belanda dan buat masa ini, Mikel Arteta perlu menilai sama ada mengejar Noa Lang adalah berbaloi atau tidak.
Ini kerana The Gunners masih mempunyai Nicolas Pepe, melainkan Edu berjaya menjual pemain Perancis ini pada jendela Januari nanti.