Difahamkan tawaran Arsenal telah diterima dengan pemain dan ejen memihak untuk berpindah menyertai The Gunners.
Statistik dan rekod mengagumkan bintang KRC Genk, Paul Onuachu dengan 47 gol dalam semua pertandingan sejak permulaan musim lalu, termasuk 12 gol untuk musim ini, telah menarik perhatian kelab di seluruh Eropah.
Pada bulan Mei, penyerang itu secara terbuka mengakui bahawa Arsenal adalah kelab impiannya.
Dua bulan kemudian, ejennya menegaskan perpindahan ke Emirates akan disambut baik oleh pemain berusia 27 tahun itu.
Sejak itu pemain antarabangsa Nigeria itu terus menyinar untuk pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Pro Jupiler, Genk FC.
Mengenali Genk, yang mana kelab tersebut telah lama bertindak membangunkan pemain muda dan kemudian menjualnya kepada kelab yang rata-rata beraksi dalam lima liga terbaik di Eropah, ianya tidak mengejutkan untuk melihat sekali lagi perkara itu berlaku.
Corriere dello Sport mempunyai cebisan laporan mengenai kelab Belgium itu dan juga membandingkan model yang diguna mereka dengan gergasi Belanda, Ajax (membentuk dan membangunkan pemain, kemudian menjualnya dengan harga yang lumayan).
Apabila membincangkan 'ubi yang disemai' sekian lama untuk skuad semasa, pemain di Genk, Onuachu dinamakan dahulu dengan dikatakan bahawa 'tawaran telah pun tiba, terutamanya dari Liga Perdana Inggeris' untuk mendapatkan penyerang itu.
Ini adalah kerana Arsenal dan Aston Villa dikreditkan dalam laporan itu serta menambah Onuachu 'dipantau' oleh dua kelab Inggeris itu.
Butiran tawaran yang diterima Genk untuk pemain tersebut bagaimanapun tidak pula disebutkan dalam laporan itu.
Difahamkan pihak Mikel Arteta akan diberi keutamaan, berdasarkan komen yang dibuat awal tahun ini oleh kedua-dua Onuachu dan wakilnya.
INFO RINGKAS
Paul Onuachu telah mengakui bahawa dia sangat suka bermain untuk Arsenal dan penyerang itu pastinya patut dipertimbangkan pada jendela perpindahan nanti.
Pemain antarabangsa Nigeria itu telah menjaringkan 35 gol dalam 41 penampilan dalam semua pertandingan musim lalu.
Manakala musim ini, pemain berusia 27 tahun itu telah menjaringkan 10 gol dalam 12 penampilan liga untuk menjadikan rekod jaringan keseluruhan (musim ini) sebanyak 12 gol untuk 19 penampilan dalam kesemua pertandingan.
Penyerang itu mengakui dalam temu bual bersama Sporza, dimana dia telah mengikuti perkembangan pemain seperti Nwankwo Kanu dan Emmanuel Adebayor ketika mereka beraksi bersama Arsenal.
Melihatkan aksinya, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa ia mempunyai beberapa persamaan gaya permainannya dengan apa yang dipamerkan oleh bekas pemain yang disebutkan tadi, yang pernah beraksi bersama The Gunners.
Walaupun video pendek diatas tidak menunjukkan sejauh mana kebolehannya, tetapi anda boleh melihat kekuatan menakjubkan dan kebolehan menggelecek yang jarang dimiliki untuk pemain yang begitu tinggi (2.01meter : 6 kaki 7 inci - ketinggian).
Dia menyertai Genk dari FC Midtjylland pada Ogos 2019 dan dinilaikan sekitar 18 juta pound sterling pada pasaran semasa serta mempunyai kontrak sehingga Jun 2024 bersama kelab Belgium itu.
Adakah Arsenal benar-benar mahukan penyerang ini atau sekadar menjengah pasaran perpindahan untuk mencari penyerang baharu dalam persedian musim depan yang dilihat lebih mencabar setelah berpotensi kehilangan khidmat Lacazette.