Hanya lapan hari persiapan pemain EPL untuk menghadapi Piala Dunia.

Piala Dunia Qatar 2022 dijadualkan bermula pada 21 November hingga 18 Disember 2022.

Dengan temasya kali ini akan berlangsung di tengah-tengah kalendar bolasepak Eropah, ia memaksa kejohanan utama yang lain terpaksa direhatkan bagi memberi laluan kepada pertandingan paling berprestij ini.

Ini menyaksikan musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) akan bermula seminggu lebih awal daripada biasa iaitu pada 6 Ogos dan akan diteruskan hingga 13 November, sebelum memberi laluan kepada temasya itu.

Sehubungan itu, beberapa pasukan kebangsaan yang mana pemain-pemain mereka beraksi dalam saingan EPL hanya mempunyai sekurang-kurangnya lapan hari untuk mengumpul pemain mereka sebelum kejohanan bermula.

Saingan EPL akan disambung semula pada perlawanan 'Boxing Day', juga lapan hari selepas perlawanan akhir Piala Dunia dilangsungkan.

Ini juga bermakna mana-mana pemain yang berpangkalan di England, yang mana mereka beraksi dipentas final Piala Dunia, mereka perlu menjalani pemulihan segera sebelum kembali menggalas tugas di peringkat domestik.

Sebelum ini dan kebiasaannya, Piala Dunia akan bermula pada awal Jun, sekali gus membolehkan setiap pasukan mempunyai kira-kira dua minggu untuk membuat persiapan termasuk merangka perlawanan persahabatan.

Pemain pula biasanya akan diberi cuti selepas beraksi dalam sesebuah kejohanan, namun ia tidak akan berlaku kali ini.

Bagaimanapun, pemain masih sempat menikmati rehat yang panjang sebelum aksi pra-musim memandangkan tidak banyak kejohanan antarabangsa yang dianjurkan.

Kempen EPL 2022-23 juga akan berakhir lebih lewat daripada biasa dengan perlawanan terakhir akan diadakan pada 28 Mei 2023.

Post a Comment

Previous Post Next Post