Kenali Ianis Stoica, pemain yang dikaitkan dengan perpindahan mengejut ke Arsenal.

Arsenal dilaporkan berminat untuk mendapatkan pemain antarabangsa Romania Bawah 21 tahun.

Awal musim ini, The Gunners menjadi pasukan paling banyak berbelanja pada jendela perpindahan musim panas, mengatasi mana-mana kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang lain.

Dilaporkan bahawa Arsenal telah berbelanja lebih daripada £140 juta untuk membawa masuk pemain seperti Aaron Ramsdale, Ben White, Takehiro Tomiyasu, Nuno Tavares, Albert Sambi Lokonga dan Martin Odegaard.

Kemasukan pemain-pemain baharu itu dijangka dapat menguatkan dan memberi cabaran bagi menamatkan saingan dengan berada dikelompok teratas liga.

Namun, Mikel Arteta mengalami permulaan yang mengecewakan setelah kalah tiga kali berturut-turut dalam perlawanan pembukaan saingan kali ini.

Pun begitu, semuanya kembali berada dilandasan yang betul selepas bangkit dari kekalahan memalukan kepada Manchester City, 5-0.

Sejak itu Arsenal memulakan usaha mencari penamat empat teratas, menikmati sepuluh perlawanan tanpa kalah sebelum tewas 4-0 kepada Liverpool minggu lalu.

Keputusan tersebut menyebabkan The Gunners kini hanya tiga mata di belakang tempat yang diidamkan, iaitu slot ke Liga Juara-Juara Eropah.

Walaupun menduduki tangga kelima liga dalam kedudukan semasa, Arsenal mempunyai perbezaan gol yang besar (-4) dan ini menggambarkan masalah sebenar yang dihadapi Mikel Arteta.

Dibolosi 17 kali dan hanya mampu menjaringkan 13 gol, mencerminkan bahawa jentera serangan Arsenal perlu diberikan penambahbaikan segera.

Jelas mereka gagal menyaingi empat pasukan teratas ketika ini, yang mana Arsenal merupakan paling banyak dibolosi dan paling sedikit menjaringkan gol.

Kini, Playsport telah mendakwa bahawa Arsenal berminat untuk menandatangani penyerang muda Romania, Ianis Stoica pada jendela perpindahan Januari.

Pemain itu dilaporkan telah diperhatikan oleh scout The Gunners sejak dua bulan lalu, namun siapa sebenarnya pemain muda yang dikatakan menjadi sasaran terbaru The Gunners ini?

Ianis Stoica baru berumur 18 tahun dan dia merupakan seorang pemain penyerang berbakat yang dilahirkan di Bucharest, Romania.

Dia seorang pemain serba boleh yang beraksi bersama Kelab Bolasepak FCSB (dikenali hanya sebagai FCSB), sebuah kelab bolasepak profesional Romania yang berpusat di Bucharest. 

Stoica sering digunakan sebagai pemain sayap kanan atau penyerang dan kadangkala sebagai pemain tengah menyerang.

Membuat penampilan sulung bersama pasukan utama FCSB pada usia 14 tahun, dia meraikan peristiwa bersejarah itu dengan menyumbangkan satu gol dalam kemenangan 6-1 FCSB keatas Sanatatea dalam saingan Piala Liga.

Itu menggambarkan sedikit sebanyak, petunjuk kepada bakat yang dimilikinya dan kepercayaan yang ditunjukkan kepadanya pada usia yang begitu muda.

Dia menjaringkan tujuh gol dan menghasilkan lima bantuan gol dalam 24 perlawanan untuk CSM Slatina, yang disertainya secara pinjaman musim lalu.

Perkembangan itu mendorong FCSB memanggilnya semula musim ini.

Dalam 12 perlawanan pembukaan musim 2021/22, dia menjaringkan empat gol dan dua bantuan telah diciptanya, menjadikan kepulangannya sesuatu yang berbaloi kepada FCSB.

Malah pada usia yang masih muda, perkembangan itu dilihat sangat positif dan cukup menggalakkan bagi seorang pemain yang baru berusia 18 tahun.

Stoica sendiri ketika ditanya dalam satu temu bual, mengenai pemain manakah dirinya boleh diibaratkan dan dia menjawab: "Saya rasa Mbappe."

Buat masa ini, hanya Arsenal yang menjadi calon tunggal untuk mendapatkan tandatangannya.

Tindakan Arsenal mencari penyerang baharu bukan sahaja disebabkan oleh masalah jentera serangan yang kurang menyengat, malah kemungkinan akan kehilangan pemain sedia ada.

Dua penyerang Arsenal, Eddie Nketiah dan Alexandre Lacazette memasuki tahun terakhir kontrak mereka, malah dikatakan bersedia untuk meninggalkan Emirates pada penghujung musim ini.

Jika kedua-dua penyerang itu meninggalkan Emirates pada musim panas depan, Arteta hanya memiliki Pierre-Emerick Aubameyang dan Folarin Balogun sebagai penyerang yang diiktiraf.

Oleh itu, menandatangani Stoica adalah masuk akal, terutamanya dengan mengambil kira strategi kelab baru-baru ini untuk menandatangani pemain muda dengan potensi tinggi dan nilai jualan yang besar.

Pemain antarabangsa Romania Bawah 21 tahun itu terkenal dengan kepantasannya, sering menggunakan kelebihannya untuk melangkaui pertahanan lawan.

Nilai pasaran semasanya adalah dianggarkan sekitar 450,000 euro (kira-kira 379k pound sterling).

Post a Comment

Previous Post Next Post