Pemain baharu Arsenal yang dibawa masuk pada musim panas telah bercakap tentang 'sakit hati' apabila dia melihat kembali kritikan terhadap kelab lamanya.
Albert Sambi Lokonga menjadi salah seorang pemain yang mencuri tumpuan peminat dan penyokong Arsenal musim ini.
Peluang yang diberikan kepadanya untuk beraksi dalam skuad utama dan dalam beberapa perlawanan penting jelas tidak menghampakan Mikel Arteta.
Pemain muda Belgium itu dengan cepat menjadi tumpuan di Emirates dan persembahan yang dipamerkannya, menunjukkan bahawa dia sentiasa dahagakan kemajuan serta berminat untuk terus mempamerkan bakatnya di peringkat tertinggi.
Itu memberikannya pengiktirafan di negara asalnya juga, mendapat cap pertamanya untuk Belgium musim ini, tetapi pemain itu tidak melupakan kelab yang membentuknya, iaitu Anderlecht.
Sporting (nama gelaran kelab Anderlecht) dan Vincent Kompany menerima kritikan hebat kali ini setelah mereka berada di tangga keenam dalam Liga Pro Jupiler.
Mereka hanya mengumpul 12 mata selepas mengharungi 15 perlawanan, 12 mata di belakang pendahulu Union Saint-Gilloise.
Bagi Lokonga, yang ditemu bual oleh RTBF pada hujung minggu, melihat bekas kelabnya bergelut dengan susah payah, begitu juga dengan kebencian daripada akhbar dan peminat, dia berkata:
“Saya sakit hati melihat Sporting seperti itu, dan Vinnie [Vincent Kompany] dikritik, tetapi ia sudah pun begitu ketika saya berada di sana: ia tidak mudah, kami dikritik dan orang suka mengkritik.
"Anderlecht sentiasa mendapat perhatian.
"Kemudian, kami melihat apa yang kami mampu lakukan pada penghujung musim, dan tiada siapa menjangka kami berada di tempat yang begitu baik.
"Anda hanya perlu mempercayai Vinnie dan memberinya masa untuk meletakkan permainannya di tempatnya”.
Perubahan skuad yang sering terjadi kepada Anderlecht terutamanya pada musim panas menyebabkan Lokongan mencari perpindahan ke Arsenal, yang mana dia menjelaskan bahawa dirinya tidak bersedia untuk terus menunggu dan bermula dari awal semula.
Walaupun begitu, bintang muda The Gunners ini masih percaya Kompany adalah orang yang sesuai untuk tugas itu dan menggesa mereka di dalam dan di sekeliling kelab untuk terus percaya dengan apa yang cuba dilakukan oleh bekas pemain Manchester City itu.