Reaksi Fabregas terhadap perlantikan Antonio Conte

Bekas bintang Arsenal, Cesc Fabregas memberi reaksi terhadap pelantikan Antonio Conte sebagai pengurus Spurs.

“Saya tidak suka mengatakannya tetapi ia adalah hebat”.

Bekas bintang Arsenal dan Chelsea, Cesc Fabregas sukar untuk menerima hakikat bahawa Tottenham Hotspur telah melantik Antonio Conte sebagai pengurus kelab itu.

Bekas pengurus Chelsea, Juventus dan Inter kembali ke Liga Perdana Inggeris bersama Spurs dengan kontrak 18 bulan berikutan pemecatan Nuno Espirito Santo, yang bertahan kurang daripada enam bulan di kerusi panas Utara London.

Pengendali Itali itu sebelum ini dikaitkan dengan jawatan kosong pada musim panas selepas Jose Mourinho ditamatkan khidmatnya musim lalu, tetapi dia memutuskan untuk tidak menyertai kelab itu walaupun Fabio Paratici berusaha keras memujuknya.

Namun kini, kedua-duanya telah menjalin semula hubungan yang pernah berkembang di Juventus.

Pelantikan Conte itu telah dilihat sebagai sesuatu yang mampu mengubah keadaan dan kemungkinan menjadikan kelab itu sebagai kuasa besar sekiranya pengendali Itali itu dapat melakukan keajaiban dalam masa singkat ini.

Tanggapan tersebut dikongsikan oleh salah seorang bekas anak buahnya, Fabregas yang pernah bekerja di bawahnya selama dua tahun di Chelsea antara 2016 dan 2018.

Conte membimbing The Blues untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada 2016/17 dan menjulang Piala FA pada kempen berikut, mengubah pandangan di England dengan sistem bek sayap (wing-back) yang sebahagian besarnya tidak didedahkan pada masa itu.

Sistem pertahanan dengan hanya menggunakan tiga pemain pertahanan tengah dengan disokong bek sayap kini menjadi sistem yang biasa kita lihat dalam permainan Liga Inggeris sekarang, dengan kesan penggunaan sistem itu kini juga dapat dilihat ataupun memberi kesan kepada liga bawahan. 

West Brom adalah contoh terbaik menggunakan sistem itu dalam saingan Kejohanan (Championship) musim ini.

Memandangkan gaya taktikalnya yang inovatif dan kaedah latihan tanpa henti, Fabregas percaya Spurs akan mengeluarkan yang terbaik setelah Conte menyertai mereka.

Dia menulis di Twitter: "Saya benci untuk mengatakannya tetapi pelantikan yang hebat oleh Spurs."

Sementara itu, Conte memberi jaminan kepada peminat mereka bahawa dia akan berusaha untuk membawa, bukan sahaja aksi bolasepak yang menarik kepada kelab, tetapi kestabilan, yang gagal dijelmakan kelab sejak penampilan final Liga Juara-Juara mereka di bawah Mauricio Pochettino.

“Falsafah kejurulatihan saya sangat mudah, bermain bolasepak yang bagus dan bolasepak yang menarik untuk peminat kami dengan penuh semangat. 

"Untuk mempunyai pasukan yang stabil, bukan naik dan turun,” kata Conte.

“Peminat berhak mempunyai pasukan yang kompetitif dengan keinginan untuk melawan. Saya akan melakukan segala-galanya untuk mendapat sokongan mereka.”

Aksi sulung Conte dalam saingan Liga Perdana Inggeris akan menemukan mereka dengan Everton yang dipimpin oleh Rafael Benítez, perlawanan yang dijadualkan berlangsung esok, jam 10 malam waktu Malaysia.

Sebelum itu, Conte terlebih dahulu menguji skuadnya dalam saingan Liga Europa dimana beliau mencatatkan kemenangan 3-2 dilaman sendiri bertemu Vitesse.

Post a Comment

Previous Post Next Post