Real Madrid dilaporkan perlu mengeluarkan sejumlah €45 juta untuk mendapatkan Pedro Porro, yang kini dipinjamkan ke Sporting CP dari Manchester City.
Menurut laporan dari El Nacional, Real Madrid telah mengetahui berapa banyak yang mereka perlukan untuk mendapatkan bek kanan Manchester City, Pedro Porro yang dipinjamkan ke Sporting CP.
Porro bermula dengan mewakili skuad remaja Rayo Vallecano sebelum berpindah ke Girona pada 2017.
Dia menghabiskan dua tahun bersama pasukan Sepanyol itu dan menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan sebelum Manchester City mengambilnya pada 2019, dan dengan segera meminjamkannya kepada Real Valladolid.
Walaupun pemain berusia 22 tahun itu tidak menarik perhatian mereka, keadaan berubah baginya apabila dia menandatangani kontrak dengan Sporting CP secara pinjaman tahun lepas.
Porro menikmati kempen yang baik dan memainkan peranan penting dalam kejayaan Lions merangkul kejuaraan Liga Perdana.
Pemain Sepanyol itu masih bersama juara Portugal itu, setelah menandatangani perjanjian pinjaman selama dua tahun dan telah membuat 51 penampilan setakat ini, menjaringkan enam gol dan mencipta tiga bantuan gol.
Prestasi cemerlang pemain sayap itu (selain mampu beraksi sebagai bek kanan) menyebabkan dia dipanggil menyertai pasukan kebangsaan Sepanyol pada Mac awal tahun ini.
Sporting mempunyai pilihan untuk menandatangani Porro secara kekal dengan jumlah bayaran sebanyak €8.5 juta, yang dijangka akan dicetuskan mereka tidak lama lagi.
Pun begitu, Manchester City tetap berharap untuk mendapatkannya kembali untuk digunakan di Etihad selepas kagum dengan perkembangannya.
Tetapi, pasukan Portugal itu sudah mempunyai kontrak yang disusun untuk pemain berusia 22 tahun itu, yang mana dia akan menandatangani perjanjian bernilai €1.8 juta setahun hingga 2025, dengan klausa pelepasan €45 juta.
Dan menurut laporan itu, Real Madrid sangat berminat untuk menandatangani bek kanan itu tetapi perlu memadankan jumlah klausa pelepasan yang disebutkan di atas untuk mendapatkan tandatangannya.
Didakwa bahawa Los Blancos telah memerhatikan perkembangan Porro dengan teliti ketika ini dan sedang mencari pengganti jangka panjang untuk Dani Carvajal.
Pemain veteran Sepanyol itu bergelut dengan masalah kecergasan untuk sebahagian besar kariernya dalam beberapa musim lalu, manakala Alvaro Odriozola tidak lagi berada dalam rancangan kelab.
Lucas Vazquez telah digunakan sebagai bek kanan buat sementara, tetapi kelab seperti Real Madrid mesti mempunyai bek kanan yang betul dalam skuad, dengan Carvajal mungkin akan disingkirkan secara berperingkat dari pasukan utama secara perlahan-lahan jika masalah kecergasannya berterusan.
Untuk itu, Carlo Ancelotti telah dikaitkan dengan beberapa bek kanan baru-baru ini, dengan Porro antara pilihan yang sedang dipertimbangkan.
Walaupun pemain berusia 22 tahun itu dijangka membuat perpindahannya ke Sporting secara kekal tidak lama lagi, namun juara Portugal itu dipercayai tidak keberatan untuk menjualnya, selagi tawaran menepati jumlah klausa pelepasan yang dimaksudkan tadi.
Dan itu bermaksud mereka akan mendapat keuntungan yang besar hasil daripda penjualan Porro.
Apa yang perlu dilihat sekarang ialah sama ada Real Madrid sanggup menyamai jumlah €45 juta untuk mendapatkan pemain pinjaman Manchester City tahun depan atau memutuskan untuk mencari alternatif yang lebih murah.