"Suatu hari nanti saya akan menjadi penjaga gol utama Arsenal" - Alexei Rojas Fedorushchenko

Penjaga gol muda Arsenal mendedahkan sasaran masa depannya selepas menerima komen positif dari Mikel Arteta.

Nama Alexei Rojas Fedorushchenko mungkin tidak asing sekiranya anda mengikuti perkembangan pasukan remaja ataupun akademi Arsenal.

Penjaga gol muda Arsenal ini mempunyai cerita menarik selain berpotensi menjadi No.1 skuad utama The Gunners, dia juga mempunyai tiga negara sebagai pilihan untuk diwakili pada masa hadapan.

Berusia 16 tahun, dia mampu memilih sama ada untuk mewakil Rusia, Colombia atau England diperingkat antarabangsa.

Ini kerana dia dilahirkan di Basildon, bandar terbesar dalam daerah Essex, England dari seorang ibu warga Rusia dan bapa warga Colombia.

Alexei Rojas Fedorushchenko merupakan penjaga gol permulaan untuk pasukan The Gunners B16 dan baru-baru ini dijemput oleh Mikel Arteta untuk berlatih bersama dengan pasukan utama.

Itu berlaku minggu lalu, kemungkinan besar disebabkan oleh sebahagian pemain skuad utama yang berada di luar untuk tugasan antarabangsa.

Namun ia adalah peluang terbaik kepada pemain muda itu menunjukkan apa yang dia boleh lakukan dan mempamerkan bakatnya kepada pemain senior.

Walaupun perkara tersebut tidak diulas dengan mendalam oleh CNN mengenai Fedorushchenko, tetapi bakat muda ini mempunyai cita-cita besar dan meletakkan sasaran yang jelas untuk masa depannya.

Dia berkata: “Pada hari Isnin, pengurus saya menghubungi bapa saya dan memberitahu Mikel Arteta telah memutuskan untuk menjemput saya berlatih bersama skuad utama. 

"Saya tiba pada hari Selasa untuk berlatih dengan mereka dan bercakap dalam bahasa Sepanyol dengan Mikel, yang telah memberi komen sangat baik.

“Ramai akan menyangka saya teruja, bagi saya ia adalah sesuatu yang berbeza. 

"Saya pergi berlatih dengan pasukan utama pada hari Selasa untuk menunjukkan kepada Mikel dan kelab, mengapa suatu hari nanti saya akan menjadi penjaga gol utama Arsenal FC”.

Hanya masa yang akan menentukan sama ada perkara itu akan berlaku, tetapi tidak dapat dinafikan keazaman pemain berusia 16 tahun itu, yang mungkin akan menggantikan Aaron Ramsdale suatu hari ini.

Siapa tahu?

Post a Comment

Previous Post Next Post