Monsun Barat Daya
Cuaca di Malaysia dicirikan oleh dua rejim monsun iaitu Monsun Barat Daya yang bermula dari akhir bulan Mei ke September, dan Monsun Timur Laut dari bulan November ke Mac.Monsun Timur Laut membawa hujan lebat terutamanya kepada negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak, manakala Monsun Barat Daya secara relatifnya menunjukkan cuaca yang lebih kering.
Tempoh peralihan di antara dua monsun ini dikenali sebagai musim peralihan monsun.
Apakah monsun?
Perkataan "monsun" berasal daripada perkataan Arab "muasim" yang bermaksud musim. Pedagang-pedagang kuno yang berulang-alik melalui Lautan India dan Laut Arab menggunakan perkataan ini bagi menjelaskan sistem angin yang silih berganti yang bertiup dari arah timur laut semasa musim sejuk di Hemisfera Utara dan dari arah berlawanan iaitu angin barat daya semasa musim panas di Hemisfera Utara.
Apakah yang menyebabkan Monsun?
Monsun berlaku disebabkan oleh perbezaan suhu di antara daratan dan lautan hasil daripada pemanasan sinaran matahari.
Semasa musim sejuk, kawasan daratan benua menyejuk dengan lebih cepat dan menyebabkan suhu yang amat rendah di Asia Tengah.
Keadaan ini menyebabkan tekanan atmosfera meningkat dan membentuk sistem tekanan tinggi (antisiklon) yang sangat kuat di Siberia.
Akibatnya, udara sejuk bergerak keluar dari Siberia sebagai angin barat laut dan seterusnya bertukar menjadi angin timur laut apabila tiba di perairan pantai China sebelum menuju ke Asia Tenggara.
Dari masa ke masa, ledakan udara sejuk yang kuat (luruan monsun) ini saling bertindak dengan sistem tekanan rendah dan pusaran siklon yang terbentuk berhampiran Khatulistiwa, menghasilkan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan serta hujan lebat di pantai timur Semenanjung Malaysia dan juga di pantai barat Sarawak.
Pada musim panas, pemanasan suria yang kuat membawa kepada peningkatan suhu di kawasan daratan Asia. Semasa udara panas mengembang naik, kawasan tekanan rendah separa tetap terbentuk.
Angin tenggara lembap yang berasal dari selatan Lautan Hindi dan rantau Indonesia-Australia bertukar menjadi angin barat daya apabila merentasi Khatulistiwa.
Angin ini seterusnya bergerak merentasi Asia Tenggara sebelum menumpu ke arah Indochina, China dan Barat Laut Pasifik.
Ciri-ciri monsun
Musim Monsun Timur Laut merupakan musim hujan utama negara kita.
Sistem cuaca monsun yang terbentuk bersama-sama dengan luruan udara sejuk dari Siberia menghasilkan hujan lebat yang sering menyebabkan banjir besar di negeri-negeri pantai timur iaitu negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur, serta negeri Sarawak di Malaysia Timur.
Monsun Barat Daya secara relatifnya adalah lebih kering bagi seluruh negara kecuali negeri Sabah di Malaysia Timur.
Pada musim ini, kebanyakan negeri mengalami hujan bulanan minimum, biasanya di antara 100 - 150mm.
Keadaan ini menunjukkan keadaan atmosfera yang stabil di kawasan khatulistiwa.
Keadaan kering di Semenanjung Malaysia terutamanya disebabkan oleh kesan lindung hujan oleh banjaran gunung di Sumatera.
Sabah secara relatifnya lebih lembap (melebihi 200mm) akibat daripada kesan ekor dari taufan yang kerap melintasi Filipina semasa perjalanannya merentasi Laut China Selatan dan sekitarnya.
Semasa musim peralihan monsun, angin adalah sepoi-sepoi dan berubah-ubah. Pada waktu pagi, langit biasanya cerah dan ini telah membantu pembentukan ribut petir pada sebelah petang.
Di negeri-negeri pantai barat Semenanjung Malaysia, ribut petir menghasilkan purata hujan bulanan maksimum semasa kedua-dua musim peralihan monsun.
Nasihat-nasihat dan amaran-amaran cuaca buruk ini akan disebarkan melalui akhbar, media sosial dan disiarkan melalui radio dan televisyen.
Persediaan untuk menghadapi monsun lembap
Sebelum Musim Monsun
- Sentiasa mendengar siaran radio, televisyen atau media sosial untuk amaran angin kencang dan laut bergelora.
- Pastikan bekalan air dan makanan yang tidak mudah rosak disimpan secukupnya.
- Bersihkan longkang, parit dan talang hujan daripada tersumbat.
Semasa Musim Monsun
- Tinggal di tanah kukuh. Jauhi dari longkang beraliran laju, sungai dan kawasan banjir.
- Jangan memandu ke kawasan banjir. Elakkan daripada melalui jambatan yang tidak kukuh dan jalan yang selalu dinaiki air.
- Ikut arahan pihak berkuasa pengurusan bencana tempatan.
- Bersedia untuk berpindah jika diarahkan terutamanya bagi yang tinggal di kawasan pantai, berhampiran sungai atau kawasan rendah.
- Pastikan kenderaan anda diletakkan di tempat tinggi dan segala harta benda yang lain terjamin daripada kerugian dan kemusnahan akibat daripada banjir.
- Elakkan daripada pergi ke laut dengan menggunakan kapal atau bot kecil.
Sumber dan kredit: Jabatan Meteorologi Malaysia