Neto menghampiri Arsenal, Leno dijangkakan akan meninggalkan Emirates musim panas ini, Barcelona mahu kos pembayaran gaji dikurangkan.
Musim lalu, penjaga gol Arsenal, Bernd Leno kehilangan tempat dalam kesebelasan utama The Gunners kepada Aaron Ramsdale.
Walaupun tidak beraksi secara kerap untuk pasukan Mikel Arteta, namun pemain Jerman itu terus menarik minat dan perhatian beberapa kelab lain, termasuklah kelab Inggeris iaitu Fulham.
Perkembangan terkini bekas penjaga gol No.1 Arsenal, dilaporkan pada hari Isnin, di mana ejen Leno memberitahu Bild bahawa Fulham sedang berusaha keras untuk menandatangani kliennya itu.
Sekiranya pemain berusia 30 tahun itu bertindak meninggalkan Emirates, sudah pasti The Gunners perlu membawa masuk pengganti pada jendela perpindahan yang sedang berlangsung ketika ini.
Fulham berusaha keras untuk menandatangani penjaga gol Arsenal, Bernd Leno, menurut ejen pemain itu, walaupun terdapat kelab lain berminat untuk mendapatkan tandatangannya pada musim panas ini. |
Penggantinya boleh datang dari Barcelona, jika laporan 'sulit' dari Sport semalam boleh dipercayai, sebagaimana disampaikan oleh Besoccer.
Mereka (Sport) tampil dengan laporan bertajuk 'Neto mendekati Arsenal'.
Dalam laporan tersebut, dikatakan pasukan La Liga itu perlu melepaskan beberapa pemain mereka, walaupun hanya dipinjamkan bagi mengurangkan pembayaran gaji pemain, sekaligus meringankan bebanan kewangan mereka.
Neto termasuk dalam senarai ini dan dia berjaya menarik perhatian beberapa pihak ketika ini.
Di pihak Barca, mereka bersedia melepaskan pemain Brazil itu pada musim panas ini dan itu juga merupakan peluang kepada pemain itu untuk mencari kelab baharu, yang mana dia boleh menerima lebih banyak masa permainan.
Valencia dan Villarreal akan gembira untuk mengambilnya, tetapi gajinya sangat tinggi untuk mereka.
Di sinilah Arsenal muncul, memandangkan Leno 'sangat hampir' untuk dijual kepada Fulham.
Sekiranya pemain Jerman itu akhirnya meninggalkan Arsenal, Sport menyatakan ia akan membuka pintu kepada Neto untuk menyertai pasukan Mikel Arteta.
Barcelona akan membenarkan dia pergi dengan syarat perjanjian pinjaman mempunyai pilihan untuk membeli supaya The Gunners perlu membelinya pada masa hadapan, dengan syarat, dia bermain dengan baik dan menarik perhatian lembaga pengarah Arsenal.
Neto ialah pemain terataas dalam senarai panjang pemain yang boleh meninggalkan kelab Catalan itu pada musim panas ini.
Akan ada perkembangan dalam beberapa minggu akan datang, tetapi yang pasti Mateu Alemany sudah mula berusaha untuk mengurangkan kos pembayaran gaji dengan mengurangkan jumlah pemain.
Walaupun terdapat dakwaan mengenai perpindahan ke Emirates, namun tidak mungkin Neto akan mendapat masa permainan yang dia cari di Arsenal.
Aaron Ramsdale adalah pilihan utama dan penjaga gol Brazil itu perlu berkompromi dengan matlamat itu jika dia menyertai The Gunners.
Kedudukan Aaron Ramsdale selaku No.1 Arsenal sukar digugat malah dia juga kini menghampiri untuk menjadi No.1 England. |