Gagal memikat pasukan lain, gaji pemain kini dikurangkan separuh.
Arsenal dan Everton telah menolak peluang untuk menandatangani Thomas Lemar dari Atletico Madrid pada musim panas ini.
Demikian menurut L'Equipe, yang mengatakan pemain sayap Perancis itu diletakkan dalam senarai perpindahan oleh pengurusnya.
Pemain tengah menyerang yang mampu beraksi pada posisi sayap kanan dan kiri itu menyertai Atletico pada 2018, dengan yuran perpindahan sebanyak €70 juta dari Monaco.
Dia dijangka oleh ramai pihak untuk menjadi terkenal di Sepanyol, tetapi semua itu tidak berjalan seperti yang dirancang.
Dalam empat musim, Lemar telah bermain sebanyak 142 kali untuk Atletico, tetapi hanya berjaya menjaringkan sembilan gol.
Itu tidak mencukupi untuk pemain yang menghabiskan banyak wang dan disebabkan itulah gergasi Sepanyol itu cuba untuk 'menghalaunya keluar'.
Akhbar itu melaporkan bahawa Lemar tidak menerima sebarang tawaran daripada kelab yang berminat terhadapnya, namun sebaliknya menerima tawaran untuk melanjutkan kontraknya bersama Atletico (kontrak semasa Lemar akan berakahir pada Jun 2023).
Tawaran pembaharuan itu akan menyaksikan dia menerima gaji yang berkurangan sebanyak 50% daripada apa yang diterimanya ketika ini (€125k seminggu gaji semasa Lemar).
Tindakan itu dilihat sebagai sebahagian daripada tindakan Atletico untuk mengelak daripada kehilangan pemain itu secara percuma.
Bagaimanapun ejennya tidak berduduk diam dan sebahagian daripada usaha untuk mengeluarkan dan menyelamatkan Lemar dari Wanda Metropolitano, dia telah ditawarkan kepada Arsenal dan Everton.
Namun kedua-dua kelab Inggeris itu, bagaimanapun tidak berminat untuk membuat perjanjian.
Ia menyebabkan Lemar berada di persimpangan dalam kariernya, kerana terpaksa menerima tawaran Atletico untuk memastikan dia berada di bawah kendalian Diego Simeone musim depan.
Dia kini mempunyai tiga bulan untuk meyakinkan pengendali Atletico Madrid untuk kembali ke kesebelasan utama Colchoneros.
Pada masa yang sama, dia juga perlu memikat Didier Deschamps sekali lagi bagi memastikan dirinya bersama Perancis dalam kejohanan Piala Dunia hujung tahun ini.