Oleksandr Zinchenko sertai Arsenal.

Oleksandr Zinchenko telah menyertai Arsenal dengan kontrak jangka panjang dari Manchester City.

Zinchenko atau lebih dikenali dengan panggilan Alex, menjadi pemain terbaru yang dibeli Arsenal dan menjadi pemain kelima yang dibawa masuk ke dalam pasukan utama The Gunners untuk persediaan musim baharu.

Dia menyertai Gabriel Jesus, Marquinhos, Matt Turner dan Fabio Vieira sebagai pendatang baharu kelab dan menyertai kem latihan pra musim yang kini sedang berlangsung di Amerika Syarikat.

Pemain berusia 25 tahun itu membawa pengalaman besar dalam Liga Perdana Inggeris dan bolasepak antarabangsa kepada skuad The Gunners, setelah membuat 128 penampilan untuk Manchester City dan bermain 52 kali untuk negaranya Ukraine.

Alex berkembang melalui akademi remaja di kelab Ukraine, Shakhtar Donetsk, sebelum berpindah ke FC Ufa di Rusia pada 2015. 

Selepas 31 penampilan bersama FC Ufa, dia menandatangani kontrak dengan Manchester City pada Jun 2016, menghabiskan musim 2016/17 secara pinjaman di kelab Belanda PSV Eindhoven, sebelum kembali ke City pada musim berikutnya.

Alex, yang mampu bermain pada semua posisi di sebelah kiri, lebih selesa beroperasi di bahagian tengah dan pertahanan telah memenangi kedua-dua Liga Perdana dan Piala Liga sebanyak empat kali.

Dia juga pernah memenangi Piala FA sekali dan bermain di final Liga Juara-Juara UEFA 2021.

Pengarah Teknikal Edu berkata: "Saya sangat gembira melihat bagaimana kami bekerja sebagai satu pasukan di kelab ini. 

"Kami menyusun rancangan lebih awal dan Oleksandr Zinchenko menjadi tumpuan utama pada senarai kami. 

"Kami gembira kerana Alex bersama kami sekarang kerana dia mempunyai ciri-ciri yang saya pasti akan meletakkan skuad kita pada tahap yang berbeza."

Mikel Arteta menambah: "Kami sangat gembira Alex telah menyertai kami. 

"Dia seorang pemain yang saya kenali secara peribadi dan terus mengikutinya selepas tempoh saya di Manchester City. 

"Alex ialah pemain berkualiti tinggi yang akan memberi kami pilihan dan serba boleh. 

"Ia bukan sahaja mengenai posisi yang boleh dimainkannya tetapi juga, kepelbagaian yang dia akan berikan kepada kami dalam serangan dan pertahanan. 

"Alex adalah seorang yang mempunyai kualiti dan perwatakan yang hebat dan saya gembira kerana semua orang telah melakukan usaha besar ini untuk membawa Alex ke kelab."

Alex telah pun menyertai skuad Arsenal di kem latihan pramusim di Orlando dan nombor skuadnya akan diumumkan dalam masa terdekat.

Kredit dan sumber: Arsenal

Post a Comment

Previous Post Next Post