Tawaran tepat diperlukan sekiranya Arsenal berhajat untuk menandatangani pemain yang telah lama menjadi sasaran.
Pemain yang telah lama menjadi sasaran Arsenal, Manuel Akanji telah diberitahu bahawa dia boleh meninggalkan Borussia Dortmund pada musim panas ini sekiranya tawaran yang sesuai diterima untuknya.
Itu menurut Sky Sports Germany, yang mengatakan pertahanan Switzerland itu adalah salah seorang daripada beberapa pemain daripada kelab Jerman itu yang mana Dortmund terbuka untuk melakukan penjualan pada jendela perpindahan ini.
Mereka menjelaskan bahawa Akanji kini hanya menjadi pilihan keempat dalam ranking di kelab itu, di belakang Niklas Sule, Nico Schlotterbeck dan Mats Hummels.
Tambahan pula, kontrak semasanya bersama kelab Jerman itu akan berakhir pada Jun 2023 dan dia difahamkan tidak mahu melanjutkannya (memperbaharui kontrak).
Ini bermakna pasukan Bundesliga itu perlu menjualnya sekarang bagi mengelakkan daripada kehilangannya secara percuma tahun depan.
Manuel Akanji, (26 tahun) merupakan pemain pertahanan tengah pasukan kebangsaan Switzerland dan juga Borrusia Dortmund, yang disertainya pada Januari 2018. |
Sky tidak menyebut mana-mana pihak yang berminat, tetapi kemungkinan Arsenal akan memerhatikan situasi itu dengan teliti.
The Gunners mula-mula dikaitkan dengan pemain pertahanan ini pada tahun 2020, namun menjadi sepi buat seketika sebelum khabar angin itu muncul lagi tahun ini.
Pun begitu, laporan pada pertengahan Mei tahun ini menyatakan Arsenal telah memadamkan minat mereka terhadapnya dengan Akanji dilaporkan sedang mempertimbangkan perpindahan ke England.
Manchester United, sejak itu menjadi pasukan yang berminat dan berusaha untuk mendapatkan khidmatnya.
Bagaimanapun, dalam perkembangan terkini mengenai situasi itu, laporan bulan lepas yang dibawakan Bild menyatakan sekali lagi mengenai minat Arsenal dan menambah bahawa kelab Utara London itu kembali berminat dengan potensi perjanjian €30 juta.
Tidak pernah disebut mengenai perpindahan sejak itu, tetapi Borussia Dortmund kini meletakkan pemain itu untuk dijual.
Skuad Mikel Arteta mempunyai 'stok' yang baik untuk pertahanan tengah selepas William Saliba dan Pablo Mari, kedua-duanya kembali dari tempoh pinjaman.
Kedua-dua pemain itu bagaimanapun, telah dikaitkan dengan perpindahan musim panas ini dan begitu juga Gabriel Magalhaes, yang kekal diminati Juventus.
Perkembangan itu (mengenai minat Juve) kini boleh dikatakan semakin meningkat, memandangkan mereka bakal kehilangan pemain sasaran, Kalidou Koulibaly yang akan berpindah ke Chelsea.
Sekiranya satu atau dua daripada ketiga-tiga mereka berpindah keluar, maka pengganti akan diperlukan, dan mungkin Akanji adalah pemain yang berpotensi untuk mengisi kekosongan itu.
Walaupun ianya mungkin sekadar spekulasi, tetapi ia masuk akal memandangkan pemain itu sangat bersedia untuk berpindah dan minat telah ada dari Emirates untuk sekian lama.