Arsenal dan Liverpool kedua-duanya akan bersaing dalam Piala Super Dubai semasa rehat Piala Dunia.
Kedua-dua pasukan Liga Perdana Inggeris itu bersedia untuk menjalani kem latihan cuaca panas di Dubai dengan melibatkan pemain masing-masing yang tidak bertanding di Piala Dunia Qatar.
Kem latihan tersebut bagaimanapun akan bersifat lebih 'kompetitif' apabila Arsenal dan Liverpool mengambil bahagian dalam kejohanan empat pasukan di Stadium Al Maktoum, yang turut disertai AC Milan dan Lyon.
Keempat-empat pasukan tersebut akan bermain dua perlawanan dalam kejohanan itu dan Arsenal bersedia untuk menentang Lyon pada 8 Disember sebelum bertembung dengan juara Itali, AC Milan lima hari kemudian pada 13 Disember.
Kedua-dua kelab Inggeris itu tidak akan bersaing antara satu sama lain dalam kejohanan itu kerana Liverpool bertemu Lyon pada 11 Disember sebelum turut bertembung dengan AC Milan pada 16 Disember.
Tiga mata standard akan diberikan kepada pemenang setiap perlawanan manakala keputusan seri akan dikira dua mata dan penentuan sepakan penalti juga ditetapkan untuk berlaku selepas setiap perlawanan.
Pemenang penentuan sepakan penalti akan diberikan satu lagi mata.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta telah bercakap tentang kepentingan skuad mudanya menguji diri mereka dengan menentang lawan yang memiliki kualiti lebih tinggi.
"Kami tidak sabar-sabar untuk meluangkan masa bersama di padang latihan dalam iklim yang lebih panas.
"Ia akan menjadi perubahan persekitaran yang baik dan peluang yang baik untuk kami bekerja keras dan bersedia untuk separuh kedua musim ini," kata Arteta kepada laman sesawang rasmi Arsenal.
"Dubai adalah tempat yang hebat dan kemudahan bolasepak di sana adalah kelas pertama.
"Piala Super Dubai juga memberi kami peluang untuk menguji diri kami menentang dua pasukan yang kuat, Lyon dan AC Milan.
"Ia akan menjadi pengalaman hebat untuk skuad."
Seramai sembilan pemain Arsenal akan beraksi untuk negara mereka pada Piala Dunia, manakala Fabio Vieira, Kieran Tierney, Martin Odegaard dan Mohamed Elneny akan mengambil bahagian dalam perlawanan persahabatan untuk pasukan kebangsaan mereka akhir bulan ini.
Selain kuartet yang disebutkan di atas, pemain seperti Rob Holding, Albert Sambi Lokonga, Gabriel Magalhaes dan Reiss Nelson semuanya harus beraksi di Dubai, di mana The Gunners juga akan bertemu semula dengan bekas kapten, Alexandre Lacazette selepas dia memutuskan untuk kembali ke Lyon.
Sementara itu, Liverpool telah mengesahkan bahawa mereka akan menghabiskan 12 hari latihan di Emiriah Arab Bersatu dan pemain-pemain yang terlibat dengan Piala Dunia akan menyertai mereka sebaik sahaja kejohanan tersebut berakhir.
Alisson Becker, Virgil van Dijk, Jordan Henderson, Fabinho, Trent Alexander-Arnold, Darwin Nunez dan Ibrahima Konate adalah tujuh pemain The Reds terlibat dengan pasukan kebangsaan masing-masing di Qatar, manakala Caoimhin Kelleher, Andy Robertson dan Mohamed Salah akan mengambil bahagian dalam perlawanan persahabatan untuk negara mereka.
Piala Super Dubai juga akan memberi peluang kepada Liverpool untuk bersatu semula dengan salah seorang bekas penyerang tengah mereka Divock Origi, yang tersisih daripada skuad Piala Dunia Belgium.
JADUAL PIALA SUPER DUBAI:
- 8 Disember: Arsenal lwn Lyon (11.30 pm - waktu Malaysia)
- 11 Disember: Liverpool lwn Lyon (10.00 pm - waktu Malaysia)
- 13 Disember: Arsenal lwn AC Milan (10.00 pm - waktu Malaysia)
- 16 Disember: Liverpool lwn AC Milan (11.30 pm - waktu Malaysia)