Arsenal berminat terhadap pemain pertahanan yang digelar 'De Ligt baharu' dengan masa depan pemain itu bersama kelab kini tidak pasti.
Pemain muda Juventus, Dean Huijsen telah menjadi tumpuan Arsenal, menurut laporan dari Itali yang dikeluarkan minggu ini.
Pasukan Serie A itu membawa masuk pemain berusia 17 tahun tersebut dari Malaga pada 2021 dan ditempatkan dalam skuad B17 mereka, sebelum mempromosinya ke pasukan B19.
Bermain sebagai pertahanan tengah, Huijsen telah menjaringkan enam gol daripada 14 perlawanan untuk pasukan Juventus B19 musim ini.
Pengurus Juventus, Massimiliano Allegri bagaimanapun telah memberikan pemain pertahanan itu peluang untuk beraksi bersama pasukan utama kelab Turin itu dalam kemenangan persahabatan terbaru mereka ke atas Rijeka pada hari Khamis.
Persembahan yang ditunjukkan Huijsen dalam perlawanan itu membuatkan pengurus Old Lady itu berasa kagum dan terpesona dengannya.
Menurut media Itali, Calciomercato mendakwa idola pemain antarabangsa Belanda Bawah 18 tahun itu ialah Matthijs de Ligt, yang meninggalkan pasukan Old Lady itu untuk menyertai Bayern Munich pada musim panas baru-baru ini.
Huijsen juga telah dibandingkan dengan rakan senegaranya itu dan digelar sebagai 'De Ligt baharu' dan kini mempunyai masa depan yang tidak pasti bersama Juventus.
Dean Donny Huijsen (kanan) dan Matthijs de Ligt. |
Kontrak semasa pemain remaja itu akan tamat pada 2024, manakala persembahan dan profilnya telah menarik minat daripada Arsenal.
Selain The Gunners, Bayern Munich dan Barcelona juga memerhatikannya.
Buat masa ini, tidak ada sebab untuk Juventus berasa bimbang, tetapi mereka mesti bertindak pantas dalam beberapa bulan akan datang bagi memastikan masa depan Huijsen terus kekal lebih lama bersama mereka.
Atau, mereka mungkin menghadapi masa yang sukar untuk mengekalkannya setelah minat yang tinggi ditunjukkan daripada beberapa pasukan ternama terhadap pemain muda itu.