Arsenal dilaporkan mahu membawa masuk pemain Perancis ke Emirates dengan segera, namun rundingan terbantut kerana permintaan ejen, yang juga merupakan ibunya.
Pada 7 Disember, berita dari Itali menjelaskan bahawa Arsenal memantau dengan teliti perkembangan masa depan Adrien Rabiot di Juventus.
Pemain antarabangsa Perancis itu mempunyai baki lebih kurang enam bulan sahaja lagi dalam kontraknya dan jendela Januari ini akan menjadi peluang terakhir untuk pasukan Serie A itu mendapatkan wang atau menjana pendapatan hasil daripada penjualannya.
Difahamkan bahawa Arsenal kini bersedia untuk mengambil langkah selanjutnya untuk menandatangani pemain berusia 27 tahun itu, menurut La Repubblica.
Idea The Gunners adalah untuk membawa pemain tengah itu ke Emirates dengan segera dan untuk melakukan itu, mereka bersedia untuk duduk di meja rundingan bersama Juventus.
Sementara itu, pengendali Old Lady, Massimiliano Allegri berhasrat untuk mengekalkan Rabiot sehingga akhir musim ini walaupun itu bermakna mereka bakal kehilangannya secara percuma pada musim panas depan.
Bagaimanapun, Juventus mempunyai rancangan lain dan telah menetapkan tanda harga sekitar €15 juta untuk melepaskan Rabiot pada jendela Januari.
Ibu Rabiot, Veronique, yang juga ejennya menuntut sebanyak €10 juta setahun/semusim untuk gajinya (£8.85 juta), yang mana itu akan memberikan kira-kira £184,000 seminggu (ketika ini Rabiot menerima sebanyak £149,000 seminggu / £7,748,000 setahun bersama Juventus).
Tetapi, The Gunners difahamkan tidak bersetuju dengan nilai gaji tersebut dan tidak akan dapat memenuhi permintaan ibu Rabiot itu.
Bagaimanapun, sekiranya Arsenal boleh mencari jalan untuk meyakinkan ejen itu untuk bersetuju dengan tawaran baharu, maka perjanjian itu boleh dilakukan pada bulan Januari.
Pemain Perancis itu mempunyai lima gol dan dua bantuan daripada 16 penampilan musim ini untuk Juventus.