The Gunners dan Chelsea telah bersetuju mengenai perpindahan Jorginho dengan bayaran perpindahan dilaporkan berjumlah £12 juta.
Pemain berusia 31 tahun itu dijangka berada di padang latihan Arsenal hari ini, setelah turut bersetuju dengan syarat peribadi bersama kelab Utara London itu.
Bagaimanapun, perjanjian itu masih tertakluk kepada pemeriksaan perubatan dan sekiranya semuanya berjalan lancar, Jorginho akan menandatangani kontrak dengan Arsenal sehingga 2024, dengan pilihan setahun lagi.
Difahamkan juga bahawa The Gunners telah memutuskan untuk tidak meneruskan usaha mendapatkan pemain Brighton, Moises Caicedo.
Pada hari Isnin, Jorginho dari Chelsea muncul sebagai sasaran mengejut untuk Arsenal dalam pasaran musim sejuk.
Ini dilaporkan oleh wartawan Sky Deutschland Florian Plettenberg dan dia juga menyatakan The Gunners hampir menandatangani pemain tengah itu.
Arsenal menerima bantuan dalam perjanjian ini daripada Conor Gallagher, yang enggan meninggalkan Chelsea untuk ke Everton.
Ini telah menyaksikan pihak Graham Potter terpaksa melihat kepada pemain tengah lain untuk dilepaskan (dijual).
❗️X News #Jorginho: Been told that he is close to join @Arsenal because #Gallagher won’t join Everton. The deal with Gallagher is close to be off. Chelsea wants to sell Jorginho instead of Gallagher. #AFC #CFC @SkySportDE 🇮🇹🏴 pic.twitter.com/VXuxw9b3T9
— Florian Plettenberg (@Plettigoal) January 30, 2023
Pemain antarabangsa Itali kelahiran Brazil itu mempunyai kontrak yang akan tamat pada bulan Jun ini.
Walaupun ejennya menegaskan ada tawaran pembaharuan daripada The Blues, namun kedua-dua pihak tidak mungkin melanjutkan hubungan mereka.
Plettenberg sekali lagi menggunakan Twitter untuk menegaskan perpindahan pemain berusia 31 tahun itu ke Arsenal adalah ‘sangat, sangat panas’.
Ini terutamanya kerana pasukan Mikel Arteta 'terdesak' untuk menandatangani bekas bintang Napoli itu, manakala kelab Barat London pula telah memutuskan untuk menjualnya.
News #Jorginho: Been told again that his transfer to @Arsenal is very very hot! #AFC is pushing and Chelsea wants to sell him. #Gallagher won’t join Everton! #CFC is still working on #Enzo. No agreement so far but all parties working on it. @SkySportDE 🇮🇹 pic.twitter.com/XZ92FzudeJ
— Florian Plettenberg (@Plettigoal) January 31, 2023
Arsenal ketika ini sangat kekurangan untuk pilihan pemain sandaran kepada pemain tengah pilihan utama Thomas Partey, dengan Mohamed Elneny juga mengalami kecederaan.
Sehubungan itu, Mikel Arteta telah mendorong perjanjian untuk Jorginho.
Dakwaan terbaru daripada Plettenberg menunjukkan bahawa perpindahan Jorginho ke Arsenal dijangka selesai tidak lama lagi.
Itu juga akan mencadangkan The Gunners telah menamatkan usaha mereka untuk mendapatkan Moises Caicedo dari Brighton & Hove Albion.
Arsenal telah mengejar Caicedo sepanjang jendela musim sejuk ini, tetapi The Seagulls bertegas mereka tidak akan menjualnya.
Itu menyebabkan The Gunners beralih kepada Jorginho, yang kontraknya di Stamford Bridge tamat pada musim panas.
Ini bermakna Chelsea berisiko kehilangannya secara percuma jika mereka tidak melepaskannya secara tetap pada jendela ini.
The Blues juga dalam usaha untuk melengkapkan perpindahan pemain tengah Benfica, Enzo Fernandez sebelum tarikh akhir esok (kira-kira jam 7 pagi waktu Malaysia), yang akan mendorong Jorginho untuk terus dipinggirkan di Barat London.
Jorginho mempunyai tiga gol daripada 25 penampilan dalam semua pertandingan musim ini untuk Chelsea dan beliau juga akan memberikan Arsenal pengalaman penting ketika The Gunners cuba memenangi gelaran juara untuk kempen semasa.
Beliau telah memenangi Liga Juara-Juara dan Liga Europa bersama Chelsea, manakala dia juga memenangi Kejohanan Eropah bersama Itali pada 2020.
Apa yang boleh diperkatakan, kami melihat ia sebagai pembelian dan penyelesaian jangka pendek, yang tidak akan memberi kesan kepada keupayaan Arsenal untuk melabur bagi pemain tengah baharu pada musim panas.
Pastinya pemburuan pemain tengah baharu yang menjadi idaman pada jendela ini akan diteruskan pada pasaran perpindahan musim panas nanti.