Arsenal mengesahkan pembelian Jakub Kiwior.

Arsenal telah mengesahkan pembelian bek tengah Poland, Jakub Kiwior dari Spezia.

Pemain berusia 22 tahun itu menyertai pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kontrak jangka panjang, dipercayai selama empat setengah tahun sehingga 2027 dengan pilihan tambahan 12 bulan.

Kiwior menjadi pemain kedua menyertai Arsenal pada jendela perpindahan Januari selepas Leandro Trossard dan The Gunners dilaporkan telah membayar yuran pendahuluan sebanyak £17.5 juta, yang boleh meningkat kepada £21 juta dengan bayaran tambahan.

Pemain antarabangsa Poland itu tiba di Utara London untuk memberikan saingan dan sandaran kepada Gabriel Magalhaes di bahagian tengah pertahanan, sementara dia juga boleh bermain sebagai pemain tengah bertahan dan bek sayap.

"Sangat bagus Jakub menyertai kami. 

Dia seorang pemain pertahanan muda serba boleh, yang telah menunjukkan potensi dan kualiti besar bersama Spezia dalam Serie A.

"Begitu juga di peringkat antarabangsa bersama Poland," kata pengurus The Gunners, Mikel Arteta kepada Arsenal.com.

"Jakub adalah pemain yang akan memberikan kami kekuatan dan kualiti kepada unit pertahanan kami.

Kami mengalu-alukan Jakub dan keluarganya ke Arsenal dan berharap dapat bekerjasama dengannya."

Arsenal bergerak pantas untuk mencapai perjanjian menandatangani Kiwior, yang dipercayai berada dalam radar Napoli, Juventus dan AC Milan, dan mereka membuat kejayaan dalam rundingan itu pada hari Jumaat.

Bekas pemain muda Anderlecht itu kemudiannya terbang ke Utara London pada hujung minggu dan dilihat hadir di Stadium Emirates semasa Arsenal mencatat kemenangan 3-2 ke atas Manchester United, dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada Ahad lalu.

Pengarah Sukan Arsenal, Edu menambah: "Kami gembira dapat menyempurnakan pembelian Jakub Kiwior. 

"Dia adalah bakat muda yang telah kami pantau untuk beberapa ketika.

"Kami kini semua tidak sabar untuk bekerjasama dengan Jakub dan melihat perkembangan berterusannya bersama kami. 

"Kami mengalu-alukan Jakub ke Arsenal."

Kiwior meninggalkan Spezia selepas membuat 43 penampilan untuk pasukan Itali itu dalam semua kejohanan, membantu Little Eagles daripada disingkirkan ke Serie B musim lalu dengan dia ketika itu beraksi sebagai pemain tengah bertahan.

Pun begitu, Kiwior beralih kepada peranan bek tengah untuk musim 2022/23 dan memulakan 17 perlawanan Serie A pertama Spezia sebelum Arsenal mempercepatkan perbincangan, dan dia telah memperolehi sembilan caps untuk pasukan senior Poland.

Pemain pertahanan itu hanya membuat penampilan sulung untuk Poland pada Jun, tetapi dia memulakan keempat-empat perlawanan mereka di Piala Dunia 2022 ketika Eagles tewas kepada naib juara Perancis pada pusingan 16 terakhir.

Kiwior boleh membuat penampilan sulungnya untuk The Gunners dalam perlawanan pusingan keempat Piala FA menentang Manchester City pada lewat pagi Sabtu (waktu Malaysia) sebelum pasukan Arteta kembali ke aksi Liga Perdana Inggeris menentang Everton (yang baru mengesahkan mereka telah memecat Frank Lampard) pada 4 Februari.

Post a Comment

Previous Post Next Post