Lebih kurang sebulan untuk Jesus kembali.

Gabriel Jesus menyasarkan untuk kembali beraksi dalam tempoh empat atau lima minggu lagi.

Penyerang Arsenal, Gabriel Jesus telah mendedahkan bahawa dia berharap untuk kembali daripada kecederaan dalam masa empat atau lima minggu lagi.

Pemain berusia 25 tahun itu tiba di Stadium Emirates dari Manchester City pada musim panas dan menikmati permulaan mengagumkan untuk kempen 2022/23 bersama pasukan Mikel Arteta, menjaringkan lima gol dan memberikan tujuh bantuan dalam 20 penampilan di semua pertandingan.

Bagaimanapun, pemain antarabangsa Brazil itu mengalami kecederaan lutut ketika beraksi di Piala Dunia 2022 Qatar dan terpaksa pulang lebih awal dari kejohanan itu, sebelum gergasi Amerika Selatan itu akhirnya tersingkir di peringkat suku akhir.

Kredit gambar: Now Arsenal.

Jesus kemudiannya menjalani pembedahan lutut pada penghujung tahun lalu dan dijangka diketepikan (terpaksa berehat) selama kira-kira tiga bulan, tetapi tarikh pemulihan penyerang itu telah berubah, dengan Arteta mendakwa dia akan berehat untuk lebih lama daripada jangkaan.

"Mudah-mudahan kami akan kembali mendapatkan Gabriel untuk bulan-bulan terakhir, ia adalah kecederaan serius yang sedikit lebih lama daripada kami jangkakan,” kata Arteta kepada pemberita minggu lalu seperti dipetik talkSPORT.

"Dia telah melakukan segala yang dia mampu untuk menjadikannya lebih singkat tetapi kami akan merinduinya buat seketika."

Jesus hadir di Stadium Emirates untuk menyaksikan Arsenal menewaskan Manchester United 3-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris Ahad lalu, perlawanan yang menyaksikan rakan penyerangnya, Eddie Nketiah menjaringkan dua gol termasuklah jaringan kemenangan The Gunners.

Gabriel Jesus bersama legenda UFC Khabib Nurmagomedov ketika menyaksikan perlawanan Arsenal menentang Man United. 

Rakaman di media sosial sejak itu muncul menunjukkan Jesus bercakap tentang kecederaannya dengan legenda UFC, Khabib Nurmagomedov di tempat duduk penonton selepas perlawanan.

Pemain Brazil itu memberikan kemas kini positif semasa perbualan itu, mendedahkan bahawa dia mungkin berada dalam kedudukan untuk kembali daripada kecederaan lututnya dalam masa "empat atau lima minggu" akan datang.

Arsenal telah berjaya mengatasi tanpa kehadiran Jesus pada jentera serangan, dengan Nketiah khususnya melangkah untuk mengisi kekosongan tersebut, menjaringkan lima gol dalam penampilannya di semua pertandingan sejak rehat Piala Dunia.

Rakan penyerang Bukayo Saka, Gabriel Martinelli dan kapten Martin Odegaard juga telah menjaringkan gol penting dalam beberapa minggu kebelakangan ini, untuk memastikan harapan gelaran Liga Perdana Arsenal terus hidup.

The Gunners kini berada lima mata di depan Manchester City di puncak carta Liga Perdana Inggeris, dengan kekurangan satu perlawanan.

Dan kemenangan untuk baki satu perlawanan itu (menentang Man City) akan menyaksikan The Gunners melebarkan kedudukan mereka kepada lapan mata.

Arteta dan rakannya kini bersiap sedia untuk perlawanan pusingan keempat Piala FA menentang The Citizens di Stadium Etihad pada hari Jumaat, sebelum kembali beraksi di liga utama apabila bertandang ke Everton pada 4 Februari.

Post a Comment

Previous Post Next Post