Boehly digesa gunakan taktik sama sekali lagi untuk tewaskan Arsenal.

Todd Boehly telah disaran mengulangi helah sama sebagaimana mereka mendapatkan Mykhailo Mudryk untuk menewaskan Arsenal sekali lagi dalam perpindahan besar.

Chelsea telah dikaitkan dengan kuat untuk perpindahan kapten West Ham, Declan Rice, tetapi akan menghadapi saingan sengit daripada Arsenal dalam mendapatkan tandatangannya pada musim panas ini.

Minat dan usaha Chelsea untuk mendapatkan Declan Rice telah lama diperkatakan dan mereka dijangka akan meneruskan usaha tersebut pada musim panas ini, sebagai sebahagian daripada polisi perpindahan Todd Boehly di Stamford Bridge. 

Kapten West Ham itu telah dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Stadium London pada penghujung musim ini selepas dilaporkan menolak tawaran baharu daripada The Hammers.

Kontrak semasa Rice bersama West Ham akan berakhir pada penghujung musim depan dan dia dijangka akan berpindah ke salah satu kelab terbesar Eropah, selepas beberapa kempen mengagumkan bersama The Hammers. 

Sejak membuat debut seniornya pada Mei 2017, pemain berusia 24 tahun itu telah membuat lebih daripada 220 penampilan untuk kelab Timur London itu.

Declan Rice jadi buruan dua gergasi London, Arsenal dan Chelsea.

Dua kelab dikaitkan dengan kuat untuk mendapatkan khidmat Rice pada musim panas ini ialah Chelsea dan Arsenal

Pemain antarabangsa England itu dilepaskan The Blues pada usia muda dan telah lama dikaitkan dengan pertemuan semula dengan rakan baiknya, Mason Mount di Stamford Bridge.

Walau bagaimanapun, laporan bulan ini telah menunjukkan bahawa Arsenal berada di kedudukan paling hadapan untuk menandatangani Rice pada musim panas ini.

Perkara itu disokong dengan usaha gigih Mikel Arteta untuk meningkatkan lagi pilihannya di bahagian tengah pasukan. 

The Gunners kini berada di puncak Liga Perdana Inggeris dan berada dilandasan terbaik untuk merangkul gelaran liga pertama sejak 2004.

Rice pula telah pun memberi bayangan perpindahan musim ini apabila dia menyuarakan cita-citanya untuk bermain dalam Liga Juara-Juara, sesuatu yang tidak mustahil sekiranya dia menyertai Arsenal.

Rice dianggarkan bernilai kira 70 juta pound pada pasaran semasa ketika ini.

"Seratus peratus, saya mahu bermain dalam Liga Juara-Juara." jelas Rice (dipetik daripada laman Football London).

"Selama dua atau tiga tahun kebelakangan ini, saya telah berkata demikian. 

"Saya telah bermain secara konsisten dengan baik untuk kelab saya dan saya rasa seperti saya benar-benar mahu terus mendesak. 

"Saya melihat rakan-rakan saya di sini, yang bermain dalam Liga Juara-Juara dan untuk trofi besar," tambahnya.

Gus Poyet pernah mewakili Chelsea dan Tottenham selain pernah menjadi pengurus Brighton & Hove Albion.

Kini, bekas pemain tengah Chelsea, Gus Poyet telah menggesa Todd Boehly untuk menewaskan Arsenal dalam mendapatkan tandatangan Rice bulan ini daripada menunggu sehingga musim panas bagi memastikan mereka mengisi ruang yang ternganga yang ditinggalkan N'Golo Kante di bahagian tengah.

"Saya rasa Chelsea menunggu untuk melihat perkembangan mengenai kecederaan [N’Golo] Kante dan saya tidak fikir mereka dapat melihat kesudahannya, maka saya akan membeli Rice sekarang." katanya kepada Online Betting World.

“Malah saya akan katakan semalam, mereka sepatutnya pergi dan mendapatkannya. 

"Sudah pasti Chelsea hebat dengan Kante pada tahap terbaiknya dan berbeza tanpa dia. 

"Saya mengatakannya apabila dia datang dari Leicester dan tahun pertama dia bermain untuk Chelsea, bagi saya dia adalah pemain tengah bertahan terbaik di dunia.

"Kini saya masih yakin apabila anda kehilangan pemain seperti itu untuk sekian lama, pertama kerana dia dimainkan di sebelah kanan oleh [Maurizio] Sarri dan kemudian kerana kecederaan, anda mesti menggantikannya.

"Tiada apa-apa menentang Jorginho, [Mateo] Kovacic, tiada kaitan dengan itu, kita bercakap tentang kemampuan. 

"Saya fikir ia juga penting untuk pasukan England, anda tahu pasukan Inggeris, serta di bahagian tengah bahawa anda mempunyai pemimpin dan selama bertahun-tahun anda boleh memiliki pemain yang begitu baik."

Dengan gesaan Poyet untuk Boehly mengulangi kejayaan mereka 'mensailang' Mudryk dari Arsenal untuk kapten West Ham itu, The Gunners pula dilihat tenang mengenai perpindahan itu.

Namun, jika Arsenal mampu menewaskan saingan London mereka itu, ia akan mewakili sedikit rasa balas dendam selepas The Gunners terlepas dua sasaran Januari kepada Chelsea. 

Joao Felix menyertai The Blues secara pinjaman daripada Atletico Madrid ketika Arsenal begitu kuat dilaporkan hampir menandatanganinya (pinjaman), manakala sasaran lama The Gunners, Mykhaylo Mudryk juga telah 'dirampas' dan berpindah ke Stamford Bridge di saat akhir.

Pun begitu, walaupun kontrak Rice hanya akan berakhir pada Jun 2024, namun harganya tidaklah murah dan Arsenal mungkin memikirkan dua-tiga kali untuk mendapatkan tandatangannya.

Lainlah Chelsea...

Todd Boehly, Pengerusi dan pemilik Chelsea setelah konsortium yang diketuainya bersama Clearlake Capital mengambil alih dari pegangan saham dari Roman Abramovich pada Mei 2022.

Post a Comment

Previous Post Next Post