Everton untuk dijual!

Pemilik Everton mahu menjual kelab bolasepaknya bagi mencari wang pelaburan yang telah dibelanjakan.

Selepas memecat Frank Lampard sebagai pengurus pasukan, kini pemilik Everton, Farhad Moshiri mahu menjual kelab bolasepak tersebut.

Menurut Will Unwin, wartawan yang membuat liputan untuk akhar The Guardian, beliau menjelaskan bahawa Everton telah dijual oleh Farhad Moshiri, yang sedang mencari tawaran lebih daripada £500 juta untuk kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Moshiri ingin mendapatkan kembali wang yang telah dia laburkan untuk stadium baharu yang sedang dibina di Bramley-Moore Dock.

Difahamkan, Deloitte telah diarahkan untuk mengendalikan penjualan kelab itu, yang berada dalam zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris.

Setakat ini, Deloitte masih tidak memberikan sebarang komen apabila didekati oleh media Inggeris itu.

Selepas memecat Frank Lampard, Everton telah dikaitkan dengan Marcelo Bielsa untuk peranan tersebut.

Namun bekas pengendali Leeds United itu difahamkan tidak berminat untuk kerusi panas The Toffees.

Selain itu, mereka turut dikecewaskan dalam urusan pembelian pemain baharu apabila pemain yang menjadi sasaran mereka, Arnaut Danjuma dirampas Tottenham.

Danjuma kelihatan bersedia menyertai Everton selepas mereka mencapai persetujuan dengan Villarreal untuknya baru-baru ini.

Malah pemain itu turut menjalani pemeriksaan perubatan bersama Everton pada hujung minggu dan berada dalam proses menyiapkan kerja media untuk video pengumumannya.

Bagaimanapun, Tottenham berjaya 'mencuri' pemain itu dari Everton.

Spurs telah mencapai persetujuan mereka sendiri dan yakin untuk membawa bintang La Liga itu ke Utara London.

Menurut Fabrizio Romano, Tottenham begitu yakin mereka telah memenangi perlumbaan untuk Danjuma sehinggakan mereka kini sudah mengalihkan perhatian mereka kepada Pedro Porro sebagai pembelian seterusnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post