Arteta mengharapkan Smith Rowe mampu beraksi ketika Arsenal berkunjung ke Stadium Kassam pada pusingan ketiga Piala FA, menentang Oxford United.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berharap Emile Smith Rowe akan dapat memainkan peranannya dalam perlawanan pusingan ketiga Piala FA menentang Oxford United, awal pagi Selasa waktu Malaysia.
Pemain berusia 22 tahun itu telah diketepikan sejak menjalani pembedahan pangkal paha pada September lalu.
Keadaan ataupun kecederaan Smith Rowe menjadi lebih buruk ketika The Gunners tewas 3-1 kepada Manchester United, yang merupakan aksi terakhirnya setakat ini.
Sejak itu, dia telah terlepas 16 perlawanan untuk Arsenal dalam semua kejohanan tetapi telah menunjukan peningkatan positif dalam pemulihannya dan kembali berlatih di London Colney.
Laporan baru-baru ini mendakwa bahawa Smith Rowe akan dinilai pada hujung minggu sebelum perlawanan Selasa ini dan Arteta telah ditanya tentang keadaan pemain antarabangsa England itu pada sidang media pra-perlawanan tersebut.
Pengurus kelahiran Sepanyol itu menyuarakan sentimen itu dan optimis bahawa dia akan dapat memanggil Smith Rowe untuk kunjungan ke Stadium Kassam dan berkata: "Esok jika dia berlatih dengan baik, dia diharapkan akan bersedia untuk memberi kami sesuatu dalam permainan," sebagaimana dipetik dari laman rasmi Arsenal.
Arteta juga membayangkan untuk menggunakan Smith Rowe di bahagian tengah untuk meringankan beban Eddie Nketiah, yang merupakan satu-satunya pilihan Arsenal yang diiktiraf pada jentera serangan selepas kehilangan Gabriel Jesus.
"Kami memerlukan dia cergas dan berada pada tahap terbaiknya.
"Dan apabila kami memilikinya, kami mempunyai pemain luar biasa yang telah banyak kami terlepas untuk beberapa bulan kebelakangan ini.
"Dia boleh bermain sebagai pemain tengah menyerang, sebagai pemain sayap dan juga sebagai pemain nombor sembilan.
"Saya rasa dia pernah bermain di sana sebelum ini," tambah Arteta.
Setakat ini, Arsenal telah mengesahkan dua pemain mereka tidak mampu diturunkan iaitu Jesus dan Reiss Nelson, ketika Arteta berhasrat untuk memenangi Piala FA buat kali ke-15 untuk The Gunners, yang kini memegang rekod terbanyak selepas memenangi trofi ke-14 pada kempen 2020.
Bagaimanapun, Arsenal gagal melepasi pusingan keempat sejak kali terakhir menjulang trofi itu dan disingkirkan oleh Nottingham Forest pada pusingan ketiga pada musim 2021/22.
Dan Arteta tidak mengambil mudah ketika menentang lawan dari saingan Liga Satu yang dijadualkan berlangsung Selasa ini.
"Ia jelas satu pertandingan yang dikaitkan dengan sejarah kejayaan kelab ini, jadi pada hari Isnin (Selasa, waktu Malaysia) kami akan mempunyai permulaan yang baik dan ujian yang baik," jelas Arteta.
"Kami perlu memandang serius saingan dan lawan serta bermain dengan baik, ke tahap yang tinggi untuk memenangi perlawanan.
"Ia adalah pertandingan yang kami nantikan untuk bermain dan mengembalikan kenangan yang besar kepada kelab bolasepak kami dan pasukan.
"Kerana bukan sahaja beberapa tahun yang lalu kami telah memenanginya, tetapi juga tahun lepas bagaimana kami tersingkir dari pertandingan itu.
"Satu pertandingan yang sangat kami ingin mainkan dan bersaing.
"Ia sentiasa rumit.
"Saya telah bermain di sana [Oxford] beberapa kali dan telah mengalami perlawanan yang sangat sukar, jadi ia akan menjadi sukar.
"Kami perlu mengambil serius pertandingan dan lawan dan bermain dengan baik, ke tahap yang tinggi untuk memenangi perlawanan itu.
"Ia akan menjadi sukar.
"Daripada apa yang kami lihat mereka telah bermain dengan cara yang berbeza dan dari segi keputusan juga, mereka telah mengalami perubahan positif.
"Ia akan menjadi malam yang sangat istimewa dan semua orang akan meningkatkan tahap mereka dan ia akan menjadi sukar."
Arsenal bersedia untuk kembali ke saingan Piala FA dengan kelebihan lima mata di puncak carta Liga Perdana Inggeris, manakala Oxford pula merosot di tangga ke-15 dalam kedudukan Liga Satu.
Kali terakhir The Gunners menentang Oxford adalah pada pusingan ketiga Piala FA 2002/03, di mana Dennis Bergkamp menjaringkan gol dalam kemenangan 2-0 sebelum Arsenal menewaskan Southampton di final.