Pengurus Arsenal, Mikel Arteta tidak berhasrat untuk mengubah tingkah lakunya di tepi padang walaupun di kritik hebat ketika ini.
Mikel Arteta dan rakan setugasnya di Newcastle, Eddie Howe bertelagah semasa keputusan seri 0-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris minggu lalu dan pengurus The Gunners itu menerima kritikan atas kelakuannya, dengan beberapa pihak mencadangkan tingkah lakunya itu banyak mengganggu dan tidak produktif.
Bercakap kepada media menjelang perlawanan Piala FA menentang Oxford United malam ini (awal pagi esok - waktu Malaysia), Arteta jelas dengan tindakannya dan sesekali tidak akan mengubah tingkah lakunya itu, walaupun menerima kritikan daripada pemerhati.
Kelakuan pengurus Arsenal itu telah menjadi perhatian dalam beberapa minggu kebelakangan ini selepas kembalinya bolasepak domestik berikutan berakhirnya kejohanan Piala Dunia Qatar pada Disember lalu.
The Gunners kini berada di tangga teratas Liga Perdana Inggeris dengan pengurusan Arteta bertanggungjawab terhadap perubahan drastik prestasi pasukan bermula musim lalu, setelah mereka tercicir daripada kedudukan empat teratas untuk slot Liga Juara-Juara.
Tahun ini, Arsenal berada di puncak liga dan dilihat berpeluang untuk menjulang trofi kejuaraan dengan prestasi mantap dipamerkan, selain momentum kemenangan yang miliki ketika ini.
Untuk itu, Arteta dan pasukan, pastinya mahu mengelak sebarang kekalahan mahupun tercicir mata untuk baki perlawanan, walaupun ia lebih separuh daripada perlawanan yang perlu dimainkan atau diharungi.
Awal minggu lalu, Arteta bertembung dengan jurulatih Newcastle, Eddie Howe semasa seri 0-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Bercakap kepada media selepas dia dikritik kerana gerak isyarat dan pergerakan animasinya di kawasan teknikal, dan kadang-kadang di luarnya, Arteta mengakui perkara itu namun tidak beri untuk menyatakan pendapat yang kukuh.
"Saya bukan sebahagian daripada perdebatan itu," jelas Arteta sebagaimana dipetik dari Telegraph.
"Saya fikir secara terbuka, mereka boleh untuk mempunyai pendapat mereka.
"Saya cuba melakukan yang terbaik untuk kelab bolasepak ini [Arsenal], untuk mempertahankannya, untuk mempromosikannya, untuk bermain dengan semangat yang saya percaya [bagaimana] permainan itu perlu dimainkan.
"Ada saat-saat, ia bukan cara saya untuk berkelakuan ketika menentang West Ham, setiap perlawanan adalah istimewa.
"Setiap pengurus berkelakuan berbeza terhadap keadaan dan situasi.
"Anda tidak boleh mengambil konteks daripada situasi - saya rasa itu tidak adil.
"Itu saya!
"Sama ada saya di sini atau di atas padang, itulah saya - yang baik dan yang buruk!"
Ditanya sama ada dia sedar atau tidak, bahawa tindakannya mempengaruhi pasukannya, Arteta berkata:
"Itu bukan saya untuk katakan.
"Saya sering mendengar bahawa pasukan ini adalah cermin jurulatih, atau semangat - saya tidak tahu."
Arteta juga tidak akan tertarik dengan kritikan untuk membuatkan dia mengubah tingkah lakunya selepas ia menjadi topik perbincangan.
Dia menyambung: "Saya akan sentiasa cuba untuk menjadi lebih baik.
"Apa sahaja yang saya lakukan, jika esok atau hari berikutnya, adalah untuk menjadikan kelab lebih kuat, pemain saya lebih baik, bermain lebih baik dan menang.
"Jadi jika saya perlu melakukan sesuatu, saya akan melakukannya.
"Jika saya perlu mengubah sesuatu, percayalah, saya akan melihat cermin pada diri saya dan saya akan mengubahnya dengan segera.
"Ia berbeza sekarang.
"Saya masih ingat ramai pengurus, saya mempunyai seorang yang luar biasa tetapi ia berbeza.
"Ada ketika dan momen.
"Seorang lelaki tidak sama 20 tahun kemudian kerana keadaan, bukan hanya umur."
Arteta juga menyatakan dia tidak menyedari sebarang kritikan terhadapnya berhubung tingkah lakunya, tetapi menerima ia mungkin berguna dan bermanfaat.
"Untuk bersikap adil, saya belum membacanya." jelas Arteta lagi.
"Adakah kritikan itu negatif atau positif, kerana kritikan tidak selalunya negatif, ia boleh menjadi sangat positif."
Arsenal akan berkunjung ke Stadium Kassam pada petang Isnin untuk perlawanan pusingan ketiga Piala FA.
Lawan yang menanti pemenang di antara Arsenal dan Oxford di pusingan keempat nanti adalah Manchester City yang terlebih dahulu mengesahkan kedudukan mereka selepas menewaskan Chelsea 4-0.