Ejen kepada pemain pertahanan telah menjadualkan perbincangan kontrak baharu dengan Arsenal minggu depan.
Kepulangan William Saliba musim ini sememangnya dinanti-nantikan oleh peminat dan penyokong Arsenal semenjak The Gunners menandatanganinya pada 25 Julai 2019.
Pun begitu, setelah sah menjadi milik Arsenal, pemain pertahanan muda itu telah dipinjamkan ke kelab asalnya serta merta, Saint-Etienne.
Selepas itu, Saliba meneruskan proses perkembangannya di luar Stadium Emirates dengan beberapa siri pinjaman di Perancis (Nice dan Marseille).
Ternyata kepulangannya musim ini tidak mengecewakan dengan dia berjaya mempamerkan aksi padu dan mantap, bergandingan dengan jitu bersama Gabriel Magalhaes di pertahanan tengah The Gunners.
Dibawa masuk pada harga £27 juta dan menandatangani kontrak untuk tempoh lima tahun, Arsenal jelas tidak mahu mengambil risiko kehilangannya musim depan.
Ini kerana kontrak semasanya bakal berakhir pada Jun 2024 (walaupun mempunyai klausa dengan The Gunners memiliki pilihan untuk menyambung setahun lagi kontraknya) dan Arsenal kini dilaporkan berusaha untuk mengekalkan Saliba lebih lama di Utara London.
Arsenal ketika ini dilaporkan sedang meningkatkan rundingan berkenaan lanjutan kontrak dengan wakil Saliba minggu depan, menurut ESPN.
ESPN mendakwa Saliba menolak tawaran kontrak terakhir Arsenal, dengan perbezaan ketara antara permintaan pemain dan tawaran The Gunners.
Tetapi semua pihak tetap bersedia untuk bersetuju dengan lanjutan (penyambungan kontrak) dan Arsenal yakin bahawa mereka akan mencapai persetujuan itu tidak lama lagi bersama Saliba dan wakilnya.
Ejen Saliba akan terbang ke London minggu depan untuk rundingan lanjut dan ia masih harus dilihat bagaimana perbincangan itu akan berakhir.
Walaupun Arsenal baru-baru ini mengambil pilihan untuk mencetuskan klausa pilihan dalam kontrak Saliba bersama The Gunners, namun usaha tersebut memasuki fasa baharu dengan keinginan Mikel Arteta adalah untuk menggunakan khidmat pertahanan itu lebih lama daripada itu.
Membincangkan potensi perjanjian baharu pada hujung minggu, Saliba mengesahkan dia dan ejennya sedang berbincang dengan Arsenal dan menyatakan bahawa dia gembira bersama The Gunners.
"Saya sangat gembira di sini," kata Saliba.
"Kelab sedang berbincang dengan ejen saya dan saya, satu-satunya perkara yang boleh saya lakukan ialah [fokus pada bolasepak saya].
"Saya sangat gembira di sini."
Ketika ditanya sama ada kemenangan 2-0 menentang Spurs, untuk mendahului lapan mata di puncak Liga Perdana, boleh membantu untuk membuat keputusan, Saliba menjawab: "Ya, sudah tentu!"
The Athletic baru-baru ini melaporkan bahawa salah satu sebab atau punca mengapa Saliba masih tidak menandatangani kontrak baharu adalah berkenaan gaji.
Ejen kepada Saliba merasakan bahawa tawaran gaji yang dikemukakan Arsenal itu tidak begitu setimpal memandangkan tempoh (kontrak) yang panjang.
Semakin lama (panjang) kontrak, semakin banyak dikehendaki oleh pihak Saliba.
Ini kerana mereka merasakan bahawa mereka boleh merundingkan semula gaji yang lebih tinggi dalam beberapa musim sekiranya dia mempunyai perjanjian yang lebih pendek.