Selepas tewas pada perlawanan minggu lalu, Mikel Arteta dijangka akan melakukan beberapa perubahan ketika The Gunners menerima kunjungan The Bees minggu ini.
Beberapa pemain utama Arsenal ketika ini bermain tanpa ada rehat yang mencukupi dan ini pastinya menjejaskan prestasi pemain-pemain tersebut, termasuklah persembahan pasukan secara keseluruhannya.
Lawan Arsenal selepas perlawanan esok adalah Manchester City dan ini dilihat begitu mendesak memandangkan The Gunners perlu mengekalkan rentak kemenangan dalam memburu mahkota kejuaraan liga musim ini.
Ini kerana pasukan Mikel Arteta berada di kedudukan terbaik untuk menamatkan kemarau hampir dua dekad, setelah kali terakhir muncul sebagai juara Liga Perdana Inggeris adalah pada musim 2003/04.
Sudah pasti perlawanan esok adalah perlu untuk Arteta merancang dan melakukan beberapa perubahan kepada kesebelasan utamanya selain taktikal pasukan.
Pun begitu, ianya mungkin sedikit terganggu dengan masalah kecederaan yang melanda beberapa pemain utama pasukan.
Laporan Goal mengatakan bahawa Emile Smith Rowe dijangka tidak cukup cergas untuk aksi menentang Brentford hujung minggu ini, selepas dia terlepas beberapa perlawanan terakhir Arsenal ekoran kecederaan pada pangkal pahanya.
Pun begitu, The Gunners menerima berita baik apabila Reiss Nelson difahamkan sudah kembali cergas dan tersedia untuk aksi menentang The Bees, selepas pulih daripada masalah hamstring.
Sebelum itu, Nelson dilihat telah menjalani latihan bersama pasukan utama minggu lalu, tetapi tidak menyertai skuad hari perlawanan menentang Everton dengan pemain sayap B21, Amario Cozier-Duberry menggantikannya.
Kesebelasan utama Arsenal ketika menentang Everton minggu lalu. |
Aksi terakhir Nelson untuk saingan Liga Perdana Inggeris adalah pada bulan Disember lalu di mana dia hanya membuat penampilan singkat ketika Arsenal mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Wolves.
Untuk rekod, pemain muda Arsenal ini hanya membuat dua penampilan sahaja dalam aksi liga musim ini (setakat ini) dengan mengumpul 63 minit permainan.
Bagaimanapun dia secara keseluruhan telah membuat tujuh penampilan ( 2 EPL, 1 EFL, 4 Europa) dengan mengumpul 315 minit permainan.
Walaupun dengan aksi yang begitu terhad, namun Nelson berjaya merekodkan dua jaringan dan satu bantuan gol setakat ini (menjaring 2 gol dan 1 bantuan pada perlawanan menentang Nottingham Forest Oktober lalu).
Khidmat Mohamed Elneny masih tidak mampu digunakan setelah mengalami kecederaan lututnya, begitu juga dengan Gabriel Jesus yang masih dalam proses pemulihan walaupun perkembangan keadaan beliau dilihat semakin positif.
Kembalinya Nelson akan menjadi dorongan kepada skuad, memberikan Mikel Arteta pilihan untuk mengubah keadaan di kedua-dua bahagian sayap The Gunners.
Untuk sementara waktu, Gabriel Martinelli dan Bukayo Saka adalah satu-satunya pilihan di bahagian sayap, dengan Marquinhos adalah pilihan alternatif untuk kedua-dua pemain itu.
Namun pemain muda Arsenal ini masih belum mampu untuk memberikan aksi yang menyakinkan.
Bagaimanapun kemasukkan pemain baharu, Leandro Trossard dan kembalinya Nelson, itu pastinya mampu memberi sedikit kelegaan kepada Arteta, selain mampu mengurangkan tekanan dan bebanan yang dipikul Martinelli dan Saka.
Mengenai Trossard, Goal mencadangkan Mikel Arteta mungkin memutuskan perlawanan pada hujung minggu ini adalah masa yang sesuai untuk memberikan pemain sayap itu aksi permulaan untuk saingan Liga Perdana pertamanya untuk Arsenal.
Dengan perlawanan Manchester City menanti Arsenal pada pertengahan minggu depan dan prestasi Martinelli dilihat agak menurun (berdasarkan perlawanan menentang Everton), ini boleh menjadi peluang yang baik untuk mencuba perubahan itu.
Selain pada bahagian sayap, di barisan pertahanan juga mungkin Arteta boleh Takehiro Tomiyasu menggantikan Ben White dalam kesebelasan utama The Gunners menentang Brentford, esok jam 11 malam (waktu Malaysia).