Mikel Arteta telah menegaskan bahawa Emile Smith Rowe masih mempunyai peranan untuk dimainkan di Arsenal.
Bercakap hari ini pada sidang media menjelang pertembungan Arsenal lwn Manchester United pada hari Ahad, Mikel Arteta telah ditanya mengenai masa depan Emile Smith Rowe.
Smith Rowe mendapati dirinya mendapat permintaan pada musim panas ini dan menjadi sasaran Chelsea, seperti yang dilaporkan oleh The Daily Mail.
Bagaimanapun, The Gunners tidak menunjukkan minat untuk membiarkan graduan akademi Hale End itu meninggalkan Stadium Emirates.
Tidak menghairankan apabila Pengarah Sukan Arsenal, Edu tidak mahu membenarkan pemain muda itu menyertai Chelsea, memandangkan ia secara langsung akan menguatkan lagi salah satu saingan paling sengit kelab di Utara London.
Punbegitu, persoalan masih ada - sama ada masih ada tempat untuk Smith Rowe di Arsenal.
Bakat pemain berusia 23 tahun itu tidak perlu diragui dengan dia menunjukkan kemampuannya pada musim 2021/22, menjelaskan dirinya mempunyai apa yang diperlukan untuk menyinar dalam Liga Perdana Inggeris.
Namun isu kecederaan dan prestasi rakan sepasukan seperti Gabriel Martinelli dan Leandro Trossard menyaksikan peluang serta khidmatnya semakin berkurangan.
Smith Rowe hanya membuat dua belas penampilan Liga Perdana musim lalu, semuanya digunakan (masuk) sebagai pemain gantian.
Walaupun kelihatan cergas semasa kejayaan England di Kejohanan Eropah bawah 21 tahun musim panas baru ini, pemain No.10 Arsenal itu yang menerima £40,000 seminggu masih belum membuat sebarang aksi liga untuk setakat musim ini.
Dengan kualiti yang dimilikinya, ia membuatkan kita semua tertanya-tanya sama ada Smith Rowe sesuai dengan taktikal yang digunakan Arteta, atau jika dia mempunyai tahap komitmen yang dituntut oleh jurulatih kelahiran Sepanyol itu.
Arteta kini berusaha untuk menepis khabar angin sedemikian dan menamatkan perdebatan. Seperti yang dipetik oleh laman web rasmi kelab, beliau berkata mengenai Smith Rowe - bahawa, "dia mempunyai peranan seperti orang lain, iaitu memberikan yang terbaik untuk menjadikan pasukan lebih baik..."
"Jelas sekali, saya mempunyai perbincangan dengannya dan penting baginya untuk memahami di mana dia berada.
"Ia sentiasa sukar dalam tiga atau empat minggu pertama, bukan hanya untuk kami... semua pemain yang tidak bermain dan tidak berpuas hati... semua orang telah memulakan musim baharu dengan aspirasi yang besar dan tidak ada minit untuk semua orang, tetapi September akan menjadi sangat berbeza."
The Gunners menghadapi jadual yang padat pada bulan September, selepas rehat antarabangsa, dengan empat perlawanan akan berlangsung antara 16 hingga 30 haribulan untuk bulan itu.
Ini termasuk derbi Utara London pertama musim baharu Liga Perdana Inggeris dan perlawanan Piala EFL menentang Brentford.
Selepas penjelasan yang dibuat Arteta hari ini, Smith Rowe pastinya akan menerima peluang untuk membuktikan nilainya semasa jadual padat itu.
Dan itu perlulah digunakan dengan sebaik-baiknya oleh Smith Rowe supaya tidak ketinggalan dalam mengembangkan lagi bakatnya, selain masa depannya di Stadium Emirates.
Semoga terus maju ESR!