€30 juta untuk Partey.

Arsenal menetapkan sebanyak €30 juta untuk Juventus dengan kelab Itali itu berusaha mencari penyelesaian bagi perpindahan Januari.


Media Itali, TuttoJuve terus berkongsi beberapa berita menarik mengenai minat Juventus terhadap pemain tengah Arsenal, Thomas Partey.

Awal minggu ini, mereka telah pun memaparkan cerita yang mendakwa Bianconeri telah menyiasat pemain itu, yang dikatakan berminat untuk meninggalkan The Gunners tahun depan.

Kini, media itu tampil dengan cerita baharu yang mendakwa situasi Partey di Arsenal kini berada di persimpangan dan Juventus boleh memanfaatkan keadaan tersebut.

Difahamkan Old Lady berminat untuk menandatangani Thomas Partey dengan perjanjian pinjaman pada jendela perpindahan Januari nanti.

Bagaimanapun, penilaian Arsenal yang dilaporkan berjumlah €30 juta untuk Partey membuatkan keadaan menjadi sedikit rumit, dengan Juventus difahamkan tidak akan membayar harga tersebut.

Mereka kini sedang mencari formula untuk membolehkan operasi itu dapat dilaksanakan dan itu boleh menjadi pinjaman dengan klausa pembelian.

Pertengahan bulan lalu, laporan TEAMtalk mendedahkan gergasi Itali itu mahu mendapatkan Partey sebagai usaha mereka menggantikan bekas bintang Manchester United, Paul Pogba yang gagal menyinar bersama mereka.

Keadaan itu menjadi semakin buruk setelah Pogba digantung daripada bermain bolasepak selepas diuji positif untuk testosteron - sampel kedua kini akan diperiksa untuk menentukan keputusan muktamad.

Keputusan terakhir ke atas Pogba akan dibuat pada bulan Oktober dengan Pengarah sukan Juventus, Cristiano Giuntoli masih membisu mengenai masa depannya sehingga kini.


Manakala situasi Partey di Stadium Emirates pula tidak berjalan dengan baik setelah dia hanya membuat empat penampilan dalam Liga Perdana musim ini.

Pemain tengah The Gunners itu hanya mencatatkan 251 minit di atas padang, dengan kecederaan berulang kali menyebabkan dia tidak dapat bermain secara konsisten. 

Seperti yang dilaporkan oleh TEAMtalk, pemain antarabangsa Ghana itu ‘bersedia untuk meninggalkan’ The Gunners jika dia tidak mendapat masa bermain secara tetap apabila dia kembali daripada kecederaan pangkal paha.

Namun, ketiadaan Partey bagaimanapun tidak meresahkan Mikel Arteta dengan dia memiliki beberapa pilihan seperti Declan Rice, Martin Odegaard, Kai Havertz dan Fabio Vieira, jadi nampaknya semakin besar kemungkinan bahawa dia boleh pergi meninggalkan The Gunners tahun depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post