"Kesilapan pertahanan punca kami tewas"

Arsene Wenger menyalahkan kesilapan barisan pertahanan selepas tewas 0-3 kepada Manchester City pada perlawanan akhir Piala Liga (EFL Cup) awal pagi tadi, namun turut berkata sistem ulangan video sepatutnya memutuskan satu daripada gol berkenaan dibatalkan.


Arsenal gagal dalam cubaan keenam dalam aksi final Piala Liga dengan tiga percubaan di bawah kendalian Arsene Wenger (yang tidak pernah menjulang gelaran itu), manakala City mencatatkan tiga kejayaan dalam tempoh lima tahun.

(Baca: Rekod Kejuaraan sebelum ini)

"Kami dihukum kesilapan sendiri," kata jurulatih kelahiran Perancis itu selepas perlawanan di Stadium Wembley.

"Anda tidak boleh katakan yang anda tidak kecewa apabila bolos seperti mana cara kami dibolosi."

"Namun anda mengambil baik dan buruk apabila menjadi pengurus dan itulah sebahagian daripada perlawanan."

Jaringan Sergio Aguero, Vincent Kompany dan David Silva memberikan City kemenangan selesa dalam aksi akhir saingan domestik pertama membabitkan kedua-dua pasukan.

Bermula dengan tindakan Shkodran Mustafi yang membiarkan dan melepaskan Sergio Aguero dibelakang beliau untuk membolehkan penyerang itu menjaringkan gol apabila mudah menewaskan David Ospina, barisan pertahanan Arsenal dilihat kekurangan motivasi dan idea dalam mengawal dan menghalang pergerakan pihak lawan.

Menurut Wenger, jaringan Kompany pada separuh masa kedua sepatutnya dikira 'offside' oleh Video Bantuan Pengadil (VAR) yang digunakan buat pertama kali dalam perlawanan akhir piala berkenaan di England.

"Gol kedua adalah 'offside'. Saya tidak tahu siapa yang mengendalikannya (VAR), ianya satu misteri bagi saya dan bagaimana anda boleh melihat tayangan ulangan dan tidak mengiranya sebagai 'offside'," jelas Wenger.

"Namun selepas itu, semuanya bagaikan berakhir. City mengawal permainan dan mereka lebih baik daripada kami. Tahniah buat mereka."

Wenger turut mempertahankan keputusannya untuk menurunkan tiga pertahanan dan bukannya empat sambil menegaskan bahawa formasi tersebut telah membantu pasukan sebelum ini termasuklah ketika berdepan Manchester City.

Post a Comment

Previous Post Next Post