Arsene Wenger sedia terima kesan (akibat) prestasi buruk

Kredit Gambar : Daily Express

Arsene Wenger dilaporkan tidak berpuas hati dengan cara beliau dikritik ketika berada di Arsenal, namun beliau mengakui tekanan yang dikenakan terhadap beliau bagi menghasilkan keputusan positif.



Laporan daripada  FFT mendedahkan dimana pengurus yang telah membimbing Arsenal selama 22 tahun ini sedia menerima sebarang kemungkinan jika prestasi pasukan tidak begitu memberangsangkan dalam minggu-minggu terakhir liga.

Selepas terkeluar daripada saingan Liga Juara-Juara Eropah musim ini, Arsenal berdepan tugas sukar untuk melayakkan diri ke saingan tersebut musim hadapan apabila gagal untuk menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik liga ketika ini.

Ketinggalan 13 mata kepada Tottenham yang berada dikedudukan keempat liga ketika ini serta baki perlawanan yang hanya tinggal lapan perlawanan sahaja lagi, menambahkan lagi tekanan terhadap Wenger kali ini.

Dan tekanan tersebut turut ditambah dengan kekalahan Arsenal dalam saingan akhir Piala Carabao serta terkeluar (dari saingan) lebih awal bagi kejohanan Piala FA.

Arsenal tewas 0-3 kepada Man.City pada perlawanan akhir Piala EFL ( Carabao Cup) 2018.
Kini, harapan Arsenal tertumpu kepada saingan Liga Europa bagi mengembalikan peluang mereka untuk beraksi pada saingan Liga Juara-Juara Musim hadapan disamping menjuarai satu-satunya piala kejuaraan musim ini.

Bagaimanapun, terdapat laporan daripada Jerman mengatakan bahawa pegawai daripada pihak Arsenal telah menghubungi dan berunding dengan bekas pengendali Borussia Dortmund, Thomas Tuchel  dengan tujuan untuk melantiknya sebagai pengganti Wenger bagi menghadapi saingan musim depan (2018-19).


Menurut laporan yang dikeluarkan oleh FFT, Wenger berpendapat bahawa beliau tidak diberikan kredit yang mencukupi diatas segala usaha yang dilakukannya terhadap Arsenal sepanjang menjadi pengurus pasukan itu selama 22 tahun.

Dan beliau juga berpendapat bahawa beliau tidak lagi dihormati kerana faktor umurnya namun begitu, beliau mengakui berada dalam tekanan untuk menghasilkan kejayaan.

"Anda terlalu menumpukan perhatian kepada kelab anda dan mengabaikan semua perkara yang lain," jelas Wenger kepada  beIN SPORTS. 

"Semakin meningkat usia anda (semakin tua), semakin ia menjadi sedikit diskriminasi umur."

"Saya boleh terima itu, jika hasilnya tidak cukup baik, kita memikul tanggungjawab yang mana kita perlu menerima sebarang kesan (akibatnya) daripada keputusan yang dihasilkan."

"Tetapi, perkara yang sering dikaitkan dengan anda, berapa lama anda telah bersama kelab itu, berapa umur anda, saya mendapati agak sukar untuk diterima."

"Namun semua perkara yang lain, saya terima. Saya memikul tugas yang sukar di mana saya perlu menghasilkan keputusan yang baik (memenangi perlawanan), dan saya bertanggungjawab untuk sebarang hasil yang diterjemahkan."

Wenger turut menafikan dimana dengan memenangi Liga Europa ianya bakal menghasilkan penamat yang indah buat karier beliau bersama Arsenal.

"Secara jujurnya, tidak, saya tidak terlalu bimbang mengenai imej," katanya. 

"Saya memberi tumpuan terhadap nilai-nilai yang saya fikir penting, untuk memberikan yang terbaik terhadap kelab saya."

"Saya mungkin cukup naif untuk percaya bahawa dengan berlalunya masa, dengan perspektif, konteks emosi, apa yang saya lakukan untuk kelab saya akan menonjol dan dikenang dan dihargai pada akhirnya" 

"Saya sedikit bosan dengan semua perkara moden yang semuanya mahu menjaga imej anda. Saya fikir saya sentiasa bekerja sepanjang hidup saya dengan ideal (konsep yang bersesuaian) yang lebih penting siapa anda berbanding rupa anda."




Sumber: FFT

Post a Comment

Previous Post Next Post