Luahan hati Arsene Wenger selepas hampir 2 bulan tinggalkan Arsenal.

Luahan hati Arsene Wenger selepas hampir 2 bulan tinggalkan Arsenal. Kredit foto: Metro

Arsene Wenger, 68 tahun dilantik menjadi pengendali Arsenal pada Oktober 1996 dan pada 20 April 2018, beliau telah mengumumkan mengenai perletakan jawatan beliau dengan perlawanan terakhir dilaman sendiri adalah pada 6 Mei ketika menentang Burley.



Dikenali dengan gelaran 'Le Professeur' , beliau dalam satu temu bual bersama rangkaian televisyen Perancis, RTL meluahkan isi hati beliau mengenai masa beliau bersama Arsenal yang telah dihabiskan hampir 22 tahun bersama di Utara London.

Dalam temu bual tersebut, beliau mendedahkan bahawa beliau akan membuat keputusan mengenai masa depannya dalam beberapa bulan lagi.

Terdahulu, beliau dikaitkan dengan menjadi pengurus pasukan kebangsaan Jepun (baca disini).

Ketika ditanya apa kesilapan besar dalam kariernya, Wenger berkata:

"Mungkin kekal di kelab yang sama untuk 22 tahun." jelas beliau secara berseloroh.

"Saya seorang yang sukakan perkara baru, seperti perubahan. Tapi saya juga sukakan cabaran. Saya seperti dipenjara kerana sukakan cabaran pada setiap masa."

Wenger mengakui beliau terlalu ghairah dalam memastikan kejayaan Arsenal, sambil menambah kehidupan peribadinya menjadi perkara paling sukar selaku pengurus.
"Saya menyesal mengorbankan semua yang saya lakukan kerana saya menyakitkan ramai orang di sekeliling saya," katanya.

"Saya tidak mempedulikan orang ramai. Saya tidak mempedulikan keluarga, saya tidak mempedulikan ramai kawan rapat. Jauh di sudut hati, jurulatih yang terlalu ghairah ini terlalu tamak untuk mengejar apa yang disukainya."

Beliau turut menyatakan mengenai keyakinan beliau terhadap bekas pemain Arsenal, Thierry Henry dan Patrick Vieira yang mampu menjadi pengurus yang berjaya satu hari nanti.

Namun beliau turut mempersoalkan adakah mereka (Viera dan Henry) sanggup melakukan pengorban untuk mencapai segala yang dihajati demi menjadi seorang pengurus yang hebat.

Vieira kini menjadi jurulatih Nice manakala Henry, penolong jurulatih Belgium yang baru sahaja mengumumkan perletakan jawatan selaku pundit bersama Sky Sports bagi memberi fokus terhadap karier selaku pengurus pasukan.

"Sering kali, saya ditanya sama ada Thierry Henry dan Patrick Vieira akan menjadi pengurus yang baik dan saya selalu menjawab YA."

"Mereka mempunyai semua ciri-ciri, mereka bijak, mereka tahu mengenai bolasepak, mereka mempunyai kebolehan yang sangat baik, namun sanggupkah mereka mengorbankan apa yang perlu dikorbankan."

" Ini obsesi yang sentiasa bermain di kepala anda."

"Anda bangun pada 3 pagi dan memikirkan pemilihan pasukan, taktik, formasi ... "

Wenger juga mendedahkan dimana beliau telah menolak peluang beberapa kali untuk mengendalikan skuad kebangsaan Perancis kerana lebih berminat untuk mengendalikan pasukan secara setiap hari (day to day aspect of management).

"Ini adalah persoalan yang saya bertanya kepada diri sendiri, jika saya menjadi pengurus pasukan kebangsaan, seorang pengurus pasukan kebangsaan bertanggungjawab mengendalikan sepuluh perlawanan setiap tahun."

"Di sebuah kelab, anda akan bertanggungjawab keatas 60 perlawanan. Tahap 'teruja' saya adalah perlawanan seterusnya, jadi ... "

Mengimbas kembali waktunya di Arsenal, Wenger menceritakan pada musim 'Invincibles' Arsenal, ketika mereka menamatkan musim 2003/04 tanpa sebarang kekalahan merupakan pencapaian terbesarnya dan mengakui pemainnya sendiri pada awalnya ragu-ragu untuk mencapai kejuaraan tersebut.


"Kami berjaya memenangi liga, kami tidak mengalami kekalahan selama satu setengah tahun, 49 perlawanan."

"Ini adalah perincian menarik kerana ketika kami memenangi gelaran (Juara Liga) pada 2002, saya memberitahu media impian saya adalah memenangi gelaran tanpa kalah," kata Wenger.

"Saya terkejut kerana dikatakan sombong dan sebagainya. Kami kehilangan gelaran musim berikutnya kepada Manchester United."

"Pada 2003/04, saya bertanya kepada pemain, mengapa kami tidak memenangi gelaran, mereka berkata, 'itu salah kamu', saya bertanya kenapa?"

"Mereka berkata: 'kamu terlalu banyak memberi tekanan kepada kami.' Dan itu menarik kerana saya memberitahu mereka satu-satunya sebab yang saya katakan adalah kerana saya benar-benar mempercayainya dan kemudian mereka melakukannya. Yang membuktikan dua perkara."

"Pertama, kadang-kadang kita tidak meletakkan tahap cita-cita yang cukup tinggi. Kita tidak berani, kita takut, tetapi anda mesti menetapkan matlamat setinggi mungkin."

"Kedua, kadang-kadang anda mesti bersabar sebelum dapat menikmati kejayaan."

Post a Comment

Previous Post Next Post