AS Monaco umumkan Thierry Henry sebagai pengendali baharu mereka.

Thierry Henry adalah jurulatih baharu Monaco selepas kelab mengumumkan kepulangan beliau ke kelab tersebut melalui laman sosial Twitter.

AS Monaco sebelum ini dilaporkan mencari jurulatih baharu selepas Leonardo Jardim dipecat minggu lepas dan bekas penyerang antarabangsa Perancis dan Arsenal, Henry kini telah dilantik secara rasminya.

Dan pada hari ini, akaun Twitter rasmi kelab itu memuat naik gambar bekas pemain berusia 41 tahun ketika Henry beraksi bersama kelab tersebut dengan kapsyen #HesComingHome #ForeverMonaco.

Laman rasmi kelab itu juga mendedahkan bahawa lagenda Arsenal itu kini sah menjadi pengendali baharu mereka.

"Pertama, saya berterima kasih kepada AS Monaco kerana memberi saya peluang untuk melatih kelab yang sangat istimewa kepada saya," kata Henry kepada laman web rasmi kelab itu.

"Saya sangat gembira untuk kembali ke AS Monaco dan bertekad untuk menghadapi cabaran-cabaran yang akan datang. Saya tidak sabar untuk bertemu dengan pemain dan mula bekerja bersama. "

Dan Naib Presiden Monaco, Vadim Vasilyev turut menambah: 

"Pengetahuan tentang bolasepak, minatnya terhadap permainan, standardnya yang tinggi dan komitmennya terhadap warna kami membuat pencalonannya menjadi kenyataan."

"Thierry sama-sama menyedari tugas itu dan ingin memulakan tugas barunya. Dia boleh bergantung kepada kepercayaan kami dan semua sokongan kami untuk membawa dinamik baru kepada pasukan dan menjalankan misi."

Henry menjaringkan 25 gol dalam 122 perlawanan untuk Monaco sebelum meninggalkan kelab itu untuk menyertai Juventus pada 1999. 

Beliau kemudiannya menyertai Arsenal, Barcelona dan New York Red Bulls sebelum mengumumkan persaraan beliau pada tahun 2014.

Tugasan baru beliau ini merupakan peranan pertama beliau selaku ketua jurulatih selepas menimba ilmu dan pengalaman bekerja sebagai pembantu kepada Roberto Martínez bersama pasukan kebangsaan Belgium semenjak 2016.

Selamat Maju Jaya Lagenda!

Post a Comment

Previous Post Next Post