Search kembali bergolak.

Kredit image: FB Din Search

Susulan pengeluaran kasut Aliph keluaran terhad yang diusahakan oleh syarikat dengan menggunakan alamat sesawang fenomenasearch.com, pihak Search kini tampil memberi amaran.

Minggu lalu kami membawakan dimana anda mampu memiliki kasut jenama tempatan yang pernah menjadi kegilaan anak muda era 80an.

BACA: Miliki kasut terhad Aliph X Search.

Pengeluaran yang diuruskan oleh Home of Champion dengan menggunakan alamat sesawang fenomenasearch.com, bagaimana pun mencetuskan 'kemarahan' anggota asal Search.

Ekoran itu, Amy, Nasir Daud dan waris pemain dram, Allahyarham Yazit Ahmad memberi tempoh tujuh hari terhadap sebuah syarikat tersebut untuk menghentikan kegiatan serta perniagaan yang didakwa menggunakan nama kumpulan itu tanpa kebenaran sebagaimana didedahkan Berita Harian semalam dengan tajuk "Search beri tempoh tujuh hari".

Pemain bass Search, Nasir berkata, mereka akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya syarikat berkenaan gagal berbuat demikian.

"Jika gagal dalam tempoh diberikan, kami akan mendapatkan nasihat guaman dan memulakan tindakan undang-undang," katanya kepada BH Online.

Anggota kumpulan itu membuat kenyataan ketika mengadakan sesi secara langsung menerusi Instagram (IG) Amy, kira-kira jam 9 malam ini.

Selain Nasir dan Amy, sesi itu turut disertai oleh anak Yazit, Shahmirnuri. Difahamkan, kegiatan dan perniagaan itu turut membabitkan anggota Search, Din dan Kid.

Mengulas adakah Din dan Kid tidak layak menggunakan nama Search, sedangkan mereka masih anggota tetap Search, Amy berkata, mereka boleh menggunakannya dengan persetujuan bersama.

"Mereka boleh pakai nama Search jika mendapat persetujuan semua ahli. Saya, Nasir dan dan waris arwah Yazit tidak pernah bersetuju berhubung kegiatan perniagaan syarikat berkenaan.

"Masa arwah Yazit sakit, kami sudah berjanji jika apa-apa terjadi pada arwah, kami tidak akan ambil pemain dram lain untuk menggantikan arwah.

"Kami akan menggunakan pemain dram undangan, jika ada undangan persembahan. Kami juga bersetuju pemain dram undangan mendapat 20 peratus bayaran, manakala 80 peratus lagi akan diserahkan kepada waris arwah Yazit. Ini semua atas persetujuan bersama," katanya.

Justeru itu, Amy berkata, penjelasan ini dilakukan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku pada kemudian hari.

"Jangan esok apabila kami tiada, orang lain bertelagah mengenai perkara seumpama ini. Jadi, saya menerangkan sekali lagi untuk kebaikan semua. Kami juga mahu melindungi hasil kerja yang sudah buat," katanya.

Sementara itu, Shahmirnuri atau mesra dengan panggilan Boy berkata, dia hanya mahu menuntut dan melindungi hak arwah bapanya.

"Berkenaan perkara ini, saya mahupun keluarga tidak diberitahu apa-apa mengenai jualan menggunakan nama Search. Saya juga tidak menerima panggilan mahupun makluman meminta izin atau seumpamanya.

"Disebabkan itu, saya cuba mendapatkan nasihat guaman untuk melindungi hak arwah bapa.

"Seperti dikatakan abang Amy, kami bukanlah tidak membenarkan anggota lain menggunakan jenama Search. Kami boleh mengizinkan dengan persetujuan bersama.

"Bukannya tidak pernah buat, sebelum ini. Saya tidak kisah untuk projek baharu, memandangkan arwah sudah tiada, itu terpulang pada anggota lain. Apa yang dikisahkan untuk perkara yang membabitkan arwah bapa, sebelum ini," katanya.

Terdahulu, Amy, Nasir dan waris Allahyarham Yazit mengeluarkan kenyataan media menuntut sebuah syarikat menghentikan kegiatan dan perniagaan yang didakwa menggunakan nama kumpulan tanpa pengetahuan.

Melalui kenyataan media, Amy, Nasir dan waris Allahyarham Yazit yang mengasaskan Search pada 1981, mendakwa mendapat maklumat mengenai seorang individu yang menjalankan aktiviti perniagaan menggunakan nama Search tanpa kebenaran.

Kenyataan itu menyebut, antara lain individu terbabit didakwa mengendalikan laman web yang ada kaitan dengan kumpulan Search dan menjual pakaian serta aksesori menggunakan nama band berkenaan.

Tambah kenyataan itu, pihak terbabit turut didakwa menawarkan produk kasut edisi terhad menggunakan nama Search kepada peminat.

Bagaimanapun pihak Home of Champion telah mengeluarkan kenyataan balas berhubung perkara ini dengan membiarkan pihak penguam mereka menyelesaikan dan menguruskan perkara ini.

Search sebelum ini pernah bergolak ekoran pengunduran vokalis mereka, Amy yang menyaksikan banyak rancangan mereka terbantut.

Search dan Yazid berseteru berhubung isu pembahagian wang menjelang Konsert 35 tahun yang sepatutnya diadakan di Litar Antarabangsa Sepang pada 30 Ogos tahun lalu. - Malaysiakini.

Pada 2017, Wings tetap dengan pendirian mahu meneruskan hasrat yang terpendam lebih setahun demi membantu Yazid Ahmad tanpa niat mengeruhkan hubungan dengan anggota kumpulan Search.

Semoga semua pihak dapat menyelesaikan perkara ini dengan baik dan adil bagi kesemua pihak.

Post a Comment

Previous Post Next Post