Pengarah Teknikal Arsenal, Edu bersedia untuk melihat seramai enam pemain senior keluar meninggalkan Emirates pada Januari ini.
Musim panas baru ini, Edu telah membawa masuk enam pemain baharu yang nyata memberi kesegaran dan terkbukti keberkesanannya.
Nama-nama seperti Nuno Tavares, Sambi Lokonga, Ben White, Martin Odegaard, Aaron Ramsdale dan Takehiro Tomiyasu telah membantu Arsenal musim ini dalam kebangkitan yang amat mengagumkan.
Kini, menjelang jendela perpindahan musim sejuk yang akan dibuka tidak lama lagi, adakah kita sekali lagi akan melihat kemasukan pemain-pemain berkualiti?
Namun, sebelum Edu sekali lagi melakukan magic dalam membawa masuk pemain-pemain baharu, dia terlebih dahulu perlukan melakukan 'pembersihan' skuad sedia ada.
The Gunners ketika ini mempunyai beberapa pemain yang kontraknya hampir tamat dan mereka semua boleh meninggalkan kelab lebih awal daripada jangkaan.
Antara pemain The Gunners yang boleh meninggalkan Emirates lebih awal adalah penyerang Perancis, Alexandre Lacazette yang akan menjadi ejen bebas pada penghujung musim ini.
Kontrak Lacazette akan tamat pada penghujung musim ini dan dipercayai bahawa dia tidak berminat untuk menyambung kontraknya serta dilaporkan telah mememilih pasukan mana yang akan disertainya pada jendela perpindahan akan datang.
Pemain itu bebas berunding dengan mana-mana pasukan dan mengikat penjanjian (pra-kontrak) dengan kelab luar sejurus 1 Januari dan kelihatan ditakdirkan untuk berpindah.
Selain Lacazette, pemain-pemain senior seperti Mohamed Elneny, Eddie Nketiah dan Sead Kolasinac juga akan menamatkan kontrak mereka pada penghujung musim ini.
Sudah pasti Arsenal tidak rela berputih mata dan tidak mahu kehilangan mereka secara percuma sebagaimana yang terjadi sebelum ini.
Sekurang-kurangnya, mereka mampu menjana sedikit keuntungan ataupun memperolehi wang penjualan pemain-pemain tersebut pada Januari nanti.
Bernd Leno juga dikatakan sedang mempertimbangkan pilihannya setelah kedudukannya sebagai penjaga gol No.1 kelab diambil oleh Aaron Ramsdale.
Penjaga gol Jerman itu tidak beraksi dalam liga sejak perlawanan ketiga musim ini dan difahamkan dia berhajat untuk melakukan perpindahan bagi mengukuhkan dirinya sebagai penjaga gol utama serta mencari peluang ke Piala Dunia.
The Gunners ketika ini mempunyai dua lagi penjaga gol muda yang mungkin diberikan tanggungjawab sementara sekiranya Leno bertindak meninggalkan kelab.
Arthur Okonkwo (20) dan Karl Jakob Hein (19) ketika ini menjadi penjaga gol sandaran kepada Ramsdale dan Leno.
Manakala, satu-satunya pemain yang mungkin keluar secara sementara (dipinjamkan) adalah penyerang berusia 20 tahun, Folarin Balogun.
Balogun ialah pemain Arsenal yang dilihat mempunyai masa depan yang cerah, pun begitu dia setakat ini masih belum diberi kesempatan beraksi bersama skuad utama The Gunners.
Edu dan Arsenal percaya perpindahan sementara boleh membantu perkembangannya, sesuatu yang didorong oleh pengendali England Bawah 21 tahun, Lee Carsley awal minggu ini.
Pemain ini telah menandatangani kontrak baharu pada musim panas lalu dan itu telah menjamin masa depan untuk jangka panjangnya kekal berada di Stadium Emirates.
Walau bagaimanapun, dengan masa bermainnya terhad, perpindahan secara pinjaman akan terbukti saling menguntungkan bagi kedua-dua kelab dan pemain itu.