Jamie Redknapp telah mengakui kesilapannya kerana mengkritik Arsenal berhubung pembelian Aaron Ramsdale selepas persembahan mengagumkan daripada penjaga gol itu.
Ketika Arsenal mendekati Aaron Ramsdale pada musim panas, kelab dan pengurus pasukan, Mikel Arteta menerima kritikan hebat daripada peminat dan pundit.
Namun, tiada siapa menyangka bahawa penjaga gol itu mampu menyelamatkan The Gunners selepas mengalami penyingkiran berturut-turut dari Liga Perdana sebelum ini ketika bersama Bournemouth dan Sheffield United.
Tambah memburukkan keadaan apabila pembelian itu disahkan dengan harga £24 juta dan ramai yang mengatakan bahawa Arsenal telah melakukan pembaziran untuk penjaga gol yang dianggap tidak cukup bagus untuk The Gunners.
Pundit seperti Danny Murphy mempersoalkan keputusan itu, sementara ada yang mempersoalkan dasar perpindahan Arsenal dan cara yang dilakukan oleh Edu Gaspar dan Arteta.
Bagaimanapun, sejak menandatangani kontrak bersama The Gunners, persembahan Ramsdale telah menutup mulut para pengkritik itu dan memaksa mereka menelan kata-kata kutukan serta kritikan yang dilontarkan.
Bekas bintang Sheffield United itu masih belum tewas dalam satu perlawanan pun sejak menyarung dan beraksi bersama jersi Arsenal, mengekalkan lima rekod bersih dalam lapan permulaannya setakat ini.
Kemasukan Ramsdale jelas telah memberikan peningkatan besar kepada Arsenal selepas bermula dengan teruk di awal musim.
Penjaga gol itu telah menerima banyak pujian, terutama daripada pengurus The Gunners, Mikel Arteta dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Dengan barisan belakang (pertahanan) yang kuat melibatkan pemain baharu Nuno Tavares, Ben White dan Takehiro Tomiyasu, The Gunners telah menjadi pasukan yang perlu diberi perhatian kali ini.
Sebagai perbandingan, Arsenal berada di tangga tercorot liga selepas mengharungi tiga perlawanan pertama liga.
Namun, sejak kemenangan terbaharu mereka ke atas Watford, The Gunners kini selesa berada di tempat kelima liga, dua mata di bawah pasukan pilihan kejuaraan, Liverpool yang berada di tangga keempat.
Malah kedudukan itu juga hanya dibezakan dengan jumlah mata yang kecil dimana Arsenal berada enam mata di belakang pendahulu Chelsea dan tiga mata dibelakang Manchester City yang menduduki tangga kedua, menjadikan mereka pesaing kuat untuk sekurang-kurangnya bagi kedudukan empat teratas jika bukan untuk kejuaraan.
Salah seorang yang mengkritik pembelian Ramsdale ialah pundit Sky Sports, Jamie Redknapp yang kini telah mengakui kesilapannya.
Bercakap kepada Sky, dipetik HITC, dia mengakui kesilapan penilaiannya terhadap penjaga gol dan kritikan yang dibuat terhadap pemain berusia 23 tahun itu dan Arsenal.
Redknapp berkata, "Dia telah mengejutkan saya. Saya perlu berterus terang.
"Saya sememangnya silap dengan dia. Saya fikir ia adalah satu pembelian yang sangat pelik.
"Dia telah menjadi satu kejutan dan dia telah memberi keyakinan di bahagian belakang."
Bintang Arsenal itu, bersama Bukayo Saka dan Emile Smith Rowe telah dipanggil menyertai skuad senior England untuk aksi kelayakan Piala Dunia Qatar 2022.
Bagaimanapun, sebaik aksi Liga Perdana disambung semula, Arsenal dan Ramsdale menghadapi ujian sukar di tangan mereka dengan perjalanan ke Anfield.
Persembahan menentang Liverpool akan meletakkan pemain dan kelab itu dalam kedudukan yang kukuh menuju ke fasa seterusnya kempen kali ini, mengukuhkan cita-cita mereka untuk berada dan menamatkan di kelompok empat teratas.