Everton, Newcastle dan Crystal Palace berminat dengan pemain Arsenal dan melihat pada potensi perpindahan Januari.
Ditandatangani dari Lille dengan harga £72juta, Nicolas Pepe tidak pernah memenuhi tanda harga tersebut bersama Arsenal.
Walaupun menjadi bintang ketika bersama Lille, namun bagi peminat dan penyokong The Gunners, mereka mahu melihat lebih banyak sumbangan dari pemain berusia 26 tahun itu dan setakat ini, perkara tersebut masih tidak berlaku.
Tidak dinafikan juga bahawa dia telah bergelut untuk meyakinkan Mikel Arteta, yang hanya menggunakannya selama lima minit dalam tiga perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris.
Pun begitu, kelab-kelab Inggeris seperti Everton, Newcastle United dan Crystal Palace semuanya dikatakan berminat dengan pemain sayap itu.
Itu adalah menurut Jeunes Footeux yang mendakwa The Toffees, The Magpies dan The Eagles semuanya mahu mengambil kesempatan daripada kedudukan pemain yang tidak menentu di Emirates, dengan harapan untuk mendapatkan perjanjian pada jendela perpindahan Januari.
Walau bagaimanapun, mereka tidak melihat kepada perpindahan kekal tetapi lebih kepada 'pinjaman dengan klausa untuk membeli', dengan ia menjelaskan bahawa berdasarkan prestasinya baru-baru ini, 'Arsenal mungkin tidak mempunyai pilihan lain selain menerima' syarat tersebut.
Newcastle dijangka akan membelanjakan sejumlah besar wang mereka pada jendela perpindahan Januari berikutan pengambilalihan baru-baru ini kelab itu oleh Dana Pelaburan Awam Arab Saudi.
Membawa masuk pemain seperti Pepe mungkin akan membantu meringankan beban Allan Saint-Maximin dan mungkin mampu mengubah keputusan perlawanan pasukan itu, yang kini sedang mencari kemenangan yang sangat diperlukan mereka.
Bagi Everton dan Crystal Palace pula, mereka jelas tidak mempunyai kewangan kukuh atau yang sama seperti pesaing mereka itu, tetapi mereka juga tidak perlu membayar apa-apa selain gaji pemain tersebut sehingga musim panas depan, sekiranya dapat melengkapkan perjanjian secara pinjaman.
Satu yang perlu diperhatikan, kerana perpindahan pada bulan Januari nanti mampu menjauhkan tekanan dan meringankan bebanan pemain The Gunners ini, malah ianya juga boleh membantu dalam mengubah prestasi Pepe.
Keputusan menghantar dia keluar secara pinjaman dilihat lebih menguntungkan daripada melepaskannya pada harga yang rendah.
Selain itu, Arsenal juga dilaporkan telah menghubungi Juventus mengenai perpindahan pemain Dejan Kulusevski dan menawarkan Pepe dalam sebahagian tawaran itu.