Ejen ingin tahu sama ada kliennya bebas untuk pergi ke Arsenal dengan perjanjian secara dasarnya telah ada antara The Gunners dan Leeds.
Raphinha menjadi sasaran utama Barcelona pada musim panas ini dan mereka tidak berseorangan apabila turut disertai Arsenal dalam usaha memburu bintang Leeds United itu.
Bagaimanapun, setakat ini pihak La Liga itu masih belum berjaya memeterai sebarang perjanjian kerana keadaan ekonomi mereka tidak mengizinkan dan masih tidak pasti mengenai masa depan Ousmane Dembele.
Kontrak pemain Perancis itu akan tamat pada 30 Jun ini dan dia mungkin meninggalkan Camp Nou sebagai ejen bebas.
Sport kini telah menghasilkan laporan memperincikan mesej daripada kelab Catalan itu kepada pemain sayap The Whites dan usaha yang dilakukan oleh Arsenal untuk menandatangani Raphinha.
Barcelona hanya akan mengambil Raphinha seandainya Dembele meninggalkan mereka. |
Ejen pemain antarabangsa Brazil itu, Deco akan pergi ke Barcelona minggu depan untuk mendapatkan kepastian mengenai keputusan Barcelona berhubung Raphinha, sama ada klienyaa boleh tiba di Camp Nou atau tidak.
Jelas sekali bahawa Deco mahu mengetahui sama ada pemain itu bebas untuk pergi ke Arsenal sekiranya jawapan negatif diterimanya daripada Barcelona.
Itu kerana pasukan Mikel Arteta telah membuat tawaran rasmi sebanyak €60 juta dan menurut Sport, terdapat perjanjian yang telah dipersetujui pada dasarnya antara Arsenal dan Leeds United.
Manakala pihak Xavi Hernandez, yang dikatakan telah mencapai persetujuan dengan pemain berusia 25 tahun itu, perlu bertindak pantas dan memastikan kewangan mereka bersedia, apabila Deco tiba di Barcelona minggu depan.
Jika tidak, maka Raphinha boleh berakhir di kelab Utara London.
Semalam Goal Espana melaporkan bahawa Raphinha akan diumumkan sebagai pemain baharu Arsenal minggu ini.
Walaupun Arsenal mempunyai perjanjian dengan pihak Jesse Marsch, Sport menambah bahawa semuanya boleh diubah sekiranya pemain Amerika Selatan itu hanya mahu menyertai Barcelona pada musim panas ini.
Ia tidak dijelaskan bagaimana Blaugrana boleh meneruskan usaha mereka itu, seandainya mereka tidak dapat menyediakan dana untuk meyakinkan Leeds.
Dengan Barcelona telah mencapai persetujuan dengan Raphinha dan Arsenal pula telah mencapai persetujuan dengan Leeds, kisah ini bagaikan ulangan kepada perpindahan Dusan Vlahovic.
Menarik untuk kita sama-sama saksikan bagaimanakah penamat kepada cinta tiga segi ini dengan kontrak Raphinha bersama Leeds akan tamat pada Jun 2024.