Arsenal dan Newcastle membuat tawaran untuk pemain yang sama.

Ejen pemain mengulangi klien tidak akan tidak kekal di kelab.

Arsenal dan Newcastle United telah dimasukkan ke dalam senarai pelamar berpotensi untuk mendapatkan Sergej Milinkovic-Savic.

Pada 13 Jun, Gazzetta dello Sport melaporkan The Gunners dan Newcastle dilihat sebagai pilihan yang mungkin untuk bintang Lazio itu pada musim panas ini.

Dua hari sebelum laporan itu keluar, Corriere dello Sport terlebih dahulu mendedahkan bahawa Arsenal sedia membuat tawaran untuk mendapatkan pemain Serbia berusia 27 tahun itu, namun kegagalan The Gunners untuk bermain dalam Liga Juara-Juara menyukarkan usaha tersebut.

Pada bulan April dan Mei pula, laporan di Itali menyatakan penjualan pemain tengah itu penting buat pasukan Serie A itu kerana mereka mahu membentuk semula skuad mereka bagi saingan musim depan. 

Pun begitu, Milinkovic-Savic masih kekal berada di Stadio Olimpico, tidak berjaya meninggalkan kelab itu setakat ini.

Memasuki bulan Julai, Il Messaggero melaporkan perkembangan dan situasi terkini pemain berusia 27 tahun itu bersama Biancocelesti.

Lazio mempunyai banyak perkara yang masih belum diselesaikan dan yang paling membimbangkan mereka ialah masa depan pemain antarabangsa Serbia itu.

Arsenal dan Newcastle dinamakan sebagai pelamar Sergej Milinkovic-Savic dengan ejennya, Mateja Kezman, mengulangi pendirian mengenai pemain itu tidak akan kekal di Lazio. 

Berkenaan dengan minat dari pasukan Inggeris, dikatakan bahawa mereka telah membuat tawaran sekitar €50-55 juta.

Bagaimanapun, tawaran yang dibuat oleh kedua-dua pasukan Mikel Arteta dan kelab Tyneside untuk pemain itu gagal memuaskan pengerusi Lazio, Claudio Lotito.

Lotito mengharapkan tawaran sekitar €65 juta berserta bayaran bonus tambahan untuk dia sudi berunding penjualan Milinkovic-Savic.

Bukan itu sahaja, malah kegagalan Arsenal dan The Magpies untuk menawarkan aksi Liga Juara-Juara kepada Milinkovic-Savic juga mengecewakan pemain itu.

Kini, Kezman sedang berusaha untuk menyelesaikan perkara itu namun sekiranya tawaran sekurang-kurangnya 65 juta berserta bonus tidak diterima, rundingan itu tidak mungkin akan berlaku.

Ia perlu dilihat sama ada The Gunners atau Newcastle akan menaikkan tawaran mereka untuk Milinkovic-Savic, bagi meyakinkan ketua pasukan Serie A itu melepaskannya.

Info Ringkas mengenai Milinkovic-Savic


Pemain bolasepak profesional Serbia yang bermain sebagai pemain tengah untuk kelab Itali, Lazio dan pasukan kebangsaan Serbia.

Dianggap sebagai salah seorang pemain tengah 'box to box' terbaik di dunia dan terkenal dengan stamina, kerja keras, kebolehan melakukan hantaran jauh yang tepat serta memiliki rembatan jarak jauh yang padu.

Milinkovic-Savic dilahirkan dalam keluarga sukan di Lleida, Catalonia (Sepanyol), di mana bapanya Nikola Milinkovic merupakan seorang pemain bolasepak profesional pada masa itu.

Ibunya, Milana Savic juga merupakan seorang atlet di mana dia adalah seorang pemain bola keranjang profesional. 

Milinkovic-Savic memulakan karier bolasepak awalnya bersama Sporting CP, ketika bapanya bermain di Portugal.

Dia kemudian menghabiskan beberapa tahun bersama Grazer AK di Austria sebelum berpindah ke Serbia, di mana dia berjaya menjadi seorang pemain bolasepak sebenar.

Selain memiliki kewarganegaraan Serbia, dia juga merupakan warganegara Sepanyol.

Post a Comment

Previous Post Next Post