Arsenal dan Shakhtar Donetsk hampir selesai.

Arsenal sediakan butiran akhir untuk menandatangani pemain dengan perbincangan sekarang memasuki fasa baharu.

Dalam minggu ini sahaja, terdapat begitu banyak laporan dari pelbagai sumber mengenai dakwaan bahawa Arsenal dan Shakhtar Donetsk hampir mencapai persetujuan untuk perpindahan Mykhaylo Mudryk.

Selasa lalu, terdapat dua sumber yang mengesahkan bahawa pemain antarabangsa Ukraine itu telah mempunyai perjanjian secara peribadi dengan The Gunners.

Salah satunya datang dari Foot Mercato, Santi Aouna, yang menjelaskan Mudryk telah bersetuju secara peribadi dengan The Gunners, untuk menyertai skuad Utara London itu.

Dakwaan Aouna itu kemudian disokong oleh Sport Arena dan mereka memberikan lebih banyak butiran mengenai perjanjian untuk membawa pemain berusia 22 tahun itu ke Stadium Emirates.

Dikatakan pihak Mikel Arteta dan Shakhtar Donetsk hampir untuk mencapai persetujuan mengenai jumlah sebenar untuk perpindahan pemain antarabangsa Ukraine tersebut dan itu juga termasuklah bayaran bonus.

Bagaimanapun, butiran mengenai tawaran terbaru Arsenal atau permintaan Shakhtar tidak pula dinyatakan dalam laporan itu.

Namun, Sport Arena menyatakan kedua-dua kelab terus merundingkan angka berkaitan bonus. 

Arsenal mahu sekurang-kurangnya 30% daripada yuran keseluruhan diberikan dalam bentuk bonus, manakala Shakhtar tidak mahu ia melebihi 20%.

Dengan dua sumber menegaskan Arsenal dan Shakhtar hampir bersetuju dengan perjanjian untuk Mudryk, kemungkinan rundingan berkaitan bonus dapat diselesaikan tidak lama lagi.

Tidak lama selepas itu, Calciomercato yang telah menjalankan beberapa temu bual dengan ketua kelab Ukraine, memberikan maklumat terkini mengenai kisah perpindahan ini.

Ia mendakwa Arsenal dan Shakhtar Donetsk sedang 'memperbaiki butiran' perpindahan untuk membawa pemain berusia 22 tahun itu ke Emirates.

Laman web itu selanjutnya menyatakan, masih belum ada perjanjian muktamad antara Arsenal dan Shakhtar Donetsk, tetapi perbincangan telah memasuki 'peringkat yang lebih maju'.

Kesediaan semua pihak yang terlibat adalah untuk mencari persetujuan untuk memeterai perpindahan tersebut.

Tidak lama selepas itu, Pengarah Arsenal Edu Gaspar dilaporkan terbang ke Warsaw pada hari Jumaat dalam usaha untuk mendapatkan khidmat pemain sayap Ukraine itu sebagaimana dilaporkan oleh Tuttomercatoweb.

Menurut laporan itu, Edu telah mendarat di Warsaw untuk perbincangan kerana dia ingin menyelesaikan urusan perpindahan yang telah lama diusahakannya.

Namun nilai akhir yang akan ditawarkan Arsenal masih menjadi tanda tanya memandangkan beberapa siri tawaran The Gunners sebelum ini telah ditolak Shakhtar.

Menurut Fabrizio Romano, tawaran terbaru Arsenal ialah bayaran pendahuluan £62 juta, ditambah dengan bonus £20 juta, menjadikan nilai keseluruhan £82 juta

Namun nilai tersebut masih di bawah apa yang diharapkan Shakhtar, yang telah berulang kali menegaskan bahawa minimum yang mereka akan terima ialah £85 juta

Tetapi jumlah keseluruhan (£82 juta) yang dibuat The Gunners itu dilihat mampu untuk mengubah fikiran Shakhtar, sebagaimana laporan yang dibuat pagi tadi kerana pihak Ukraine itu tidak mungkin akan menerima nilai yang diharapkan mereka pada masa akan datang untuk Mudryk, sekiranya tidak menjualnya sekarang.

Nota: Dengan Ukraine masih diserang Rusia, Shakhtar Donetsk telah menghabiskan sebahagian besar 12 bulan terakhir mereka dengan ditempatkan di sempadan di Poland. 

Mereka bermain perlawanan di tempat sendiri dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara di Stadion Wojska Polskiego, Legia Warsaw.

Post a Comment

Previous Post Next Post