Arsenal dan Manchester City pantau João Félix

Dalam mengikuti perkembangan dan gosip perpindahan pemain sementara liga berehat ekoran perlawanan persahabatan antarabangsa (international break), rata-rata media banyak mengaitkan Arsenal dengan pemain Benfica.



Hari ini sahaja MyGooners telah melaporkan dua pemain Benfica yang menjadi sasaran Arsenal dan anda boleh membacanya disini (pemain sayap Benfica jadi sasaran Arsenal) dan juga disini (pemain pertahanan Benfica jadi sasaran Arsenal).

Arsenal dan Manchester City dilaporkan telah menghantar pencari bakat (scout) masing-masing bagi menilai dan meninjau pemain muda Benfica sebagaimana dilaporkan oleh akhbar Portugal, O Jogo tiga hari lalu.


Mengikut laporan tersebut, wakil (scout) daripada kelab Liga Perdana Inggeris tersebut telah mengambil nota mengenai prestasi João Félix ketika beraksi bersama pasukan Benfica B.

Pemain berusia 18 tahun itu telah kembali beraksi bersama pasukan simpanan (Benfica B) selepas bermain beberapa perlawanan untuk pasukan remaja (akademi) Benfica dan Felix nyata tidak mengecewakan apabila memaparkan aksi cukup cemerlang disamping berjaya menjaringkan satu gol dalam membantu pasukan Benfica B menewaskan União da Madeira 4-0.

Walaupun Manchester United tidak menghantar wakil ketika meninjau dan menilai pemain tersebut, namun O Jogo mendakwa bahawa Red Devils juga merupakan salah satu lagi kelab Inggeris yang memerhatikan perkembangan pemain muda ini.

Pun begitu, kesemua kelab ini mempunyai tugas sukar untuk menandatangani Felix memandangkan Benfica tidak berminat untuk menjual ataupun melepaskan pemain ini.

Sebaliknya pihak Benfica dikatakan merancang untuk memasukkan beliau ke dalam skuad utama Benfica musim depan.

Dengan klausa pelepasan €60 juta (£52.8juta) yang terkandung di dalam kontrak pemain muda ini, Benfica yakin mereka mampu mengekalkan pemain ini daripada 'dirembat' oleh Manchester City, Arsenal, Manchester United dan lain-lain pasukan yang berminat terhadap Felix.

João Félix, 18 tahun beraksi pada posisi pemain tengah menyerang juga mampu beraksi pada posisi lain seperti sayap kiri dan penyerang kedua.

Kontrak beliau bersama Benfica bakal berakhir pada Jun tahun 2022 dan setakat ini beliau telah membuat 22 penampilan dengan lima gol dan lima bantuan gol bersama skuad remaja Benfica.

Post a Comment

Previous Post Next Post