Peluang terbaik buat Arsenal setelah dua kali tawaran dilakukan untuk pemain sayap Sporting

Peluang terbaik buat Arsenal dapatkan Gelson Martin. Kredit foto: The Sun

Arsenal kini mempunyai kelebihan dalam perebutan untuk menandatangani pemain sayap setelah membuat dua tawaran, dengan pemain tersebut lebih 'memilih' untuk menyertai Liga Perdana Inggeris.



Dalam beberapa hari kebelakangan ini, pemain sayap Portugis, Gelson Martins telah dikaitkan dengan beberapa kelab ternama Eropah setelah situasi 'huru-hara' tercetus di Sporting . 

Manakala media dari Itali telah melaporkan pemain tersebut menjadi rebutan diantara kelab Inggeris Arsenal dan Liverpool serta kelab Itali, Lazio yang mana masing-masing begitu teruja untuk mendapatkan pemain tersebut.

Sementara laporan dari UK pula mengatakan Everton merupakan pasukan terbaru yang turut berminat mendapatkan pemain sayap Sporting ini.

Kisah perpindahan Martins ketika ini mendapat liputan meluas di Portugal setelah harapan Sporting untuk mengekalkan pemain itu menemui kegagalan dan kelab Portugal itu dikatakan bakal kehilangan Martins secara percuma pada jendela perpindahan musim panas ini.

Ini adalah kerana Martins merupakan salah seorang pemain Sporting yang mahu membatalkan kontrak bersama kelab itu.

Semalam, media Portugal Diário de Notícias, mendakwa bahawa Lazio tidak mungkin mempunyai peluang sekiranya menyertai perebutan diantara kelab Liga Perdana Inggeris.

Menurut akhbar itu, Gelson tidak berminat untuk meneruskan kariernya di Lazio dan lebih memilih untuk berpindah ke Liga Perdana Inggeris.

Pun begitu, Diário de Notícia tidak menamakan mana-mana kelab Inggeris yang berminat terhadap pemain tersebut.

Namun penulis percaya bahawa Arsenal merupakan pasukan yang mempunyai kelebihan dalam perebutan ini memandangkan sebelum ini hanya Arsenal sahaja dilaporkan telah membuat tawaran bagi mendapatkan pemain tersebut.

Berbanding kelab-kelab yang telah dikaitkan dengan Martins, Arsenal dilaporkan telah melakukan tawaran berjumlah €30 juta sebanyak dua kali dan ketika itu Martins masih menjadi pemain Sporting dengan kontrak yang terikat sehingga tahun 2022.

Tetapi sekarang dengan pemain berusia 23 tahun ini menjadi ejen bebas (selepas membatalkan kontrak bersama Sporting), semua pihak (pasukan yang berminat) mempunyai syarat yang sama iaitu menawarkan kontrak kepada pemain tersebut.

Dan sudah tentu mana-mana pihak yang berjaya membuat tawaran kontrak yang paling menarik buat Martins, bakal mendapatkan beliau secara percuma.

Arsenal yang mempunyai kekangan kewangan dalam peruntukan perpindahan pada musim panas ini sudah tentu tidak mahu melepaskan peluang terbaik ini, lebih-lebih lagi setelah membuat dua kali tawaran mendapatkan pemain tersebut.

Post a Comment

Previous Post Next Post