Bekas bintang Arsenal, Emmanuel Eboue ditangkap.

Penghujung tahun lepas (24 Disember 2017), berita mengenai kisah sedih Emmanuel Eboue mendapat perhatian umum ekoran masalah 'mental' yang dihadapi beliau selepas bercerai dengan bekas isterinya.



Beliau yang cukup terkenal dengan sikap lucunya tidak pernah mengecewakan peminat-peminat Arsenal baik ketika beliau bersama Arsenal mahupun selepas meninggalkan kelab (bersama kelab lain).


Selepas pendedahan kisah beliau itu yang mana pemain tersebut hidup dalam ketakutan dan kesusahan, kelab Turki, Galatasaray dikatakan telah memberi peluang kepada beliau untuk membina hidup baru dengan menawarkan jawatan sebagai pembantu jurulatih skuad bawah 14 tahun kelab tersebut.


Dan semenjak itu kisah beliau bagaikan sepi daripada sebarang permasalahan yang timbul sebelum itu serta terbaru beliau dilihat tampil bersama skuad lagenda Arsenal ketika menentang lagenda Real Madrid pada 3 Jun 2018 yang berkesudahan kemenangan 2-1 berpihak kepada Real Madrid.

Pascal Cygan (kiri) dan Emmanuel Eboue beraksi dalam perlawanan amal diantara lagenda Real Madrid dan Arsenal baru-baru ini. Kredit foto: Stuart MacFarlane
Melihatkan perkembangan beliau ketika itu, boleh dikatakan bahawa beliau seolah-olah bebas daripada masalah kewangan dan kemurungan yang menghantui beliau sebelum ini selepas bercerai dengan bekas isterinya, Aurelie Bertrand.

Ebou dan Aurelie berkahwin pada tahun 2004 dan dikurniakan 3 cahaya mata. 
Dalam kita semua mengandaikan bahawa beliau mampu menyerap dan menghadapi tekanan hidup beliau itu, akhbar UK, Mirror mendedahkan bahawa bekas pemain Arsenal itu telah ditangkap dan dibawa ke balai polis di Utara London.

Memetik kenyataan polis sebagaimana dilaporkan Mirror :

Polis menyiasat perbuatan khianat yang didakwa berlaku di kediaman beralamat di Enfield pada hari Sabtu, 30 Jun dan menahan seorang lelaki berusia 35 tahun kerana disyaki membakar dan berniat jahat di luar rumah di alamat tersebut sekitar 17: 00hrs pada hari Sabtu, 7 Julai. Dia dibawa ke balai polis utara London di mana dia masih ditahan.

Namun pada petang Ahad, jurucakap Scotland Yard telah memberikan perkembangan positif mengenai penahan Eboue itu dan beliau akhirnya telah dibebaskan tanpa sebarang tindakan dikenakan terhadap beliau.

"Dia telah dibebaskan tanpa sebarang tindakan lanjut mengenai tuduhan membakar itu."

"Dia telah ditahan untuk pertanyaan lanjut berhubung dengan kesalahan lain."

Rakan-rakan beliau difahamkan bimbang mengenai keadaan mental dan emosi yang menimpa Eboue dan mereka juga turut risau mengenai kemampuan bekas pemain pertahanan Arsenal itu untuk mendapatkan khidmat guaman selepas gagal dalam tuntutan kes perceraian beliau.

Diharapkan  Emmanuel Eboue terus tabah dalam menghadapi cabaran kehidupan ketika ini dan masa hadapan.

Post a Comment

Previous Post Next Post