Nacho Monreal sahkan perbincangan pembaharuan kontrak bersama Arsenal.

Nacho Monreal mengesahkan beliau sedang berunding untuk melanjutkan kontrak bersama Arsenal.



Pemain pertahanan kiri berusia 32 tahun ini merupakan salah seorang pemain yang digemari oleh penyokong dan peminat Arsenal malahan beliau turut berjaya mempamerkan serta mengekalkan prestasi cemerlang semenjak menyertai kelab pada tahun 2013 sehingga kini.

Kecemerlangan beliau itu menyaksikan beliau berjaya menyisihkan pemain muda seperti Kieran Gibbs dan kini Sead Kolasinac dalam perebutan tempat dalam kesebelasan utama Arsenal pada posisi pertahanan kiri.

Dengan kontrak yang berbaki kurang daripada setahun untuk tamat, beliau ketika ini kuat dikaitkan dengan perpindahan pada jendela perpindahan terdahulu serta akan datang (jendela perpindahan Januari 2019).

Awal bulan ini (September), terdapat laporan yang mengatakan bahawa beliau bakal digantikan dengan bekas pemain Chelsea selain menjadi sasaran kelab Barcelona pada jendela perpindahan akan datang.


Malahan awal bulan Julai tahun ini, kami turut menceritakan mengenai calon-calon pertahanan kiri yang mungkin menjadi sasaran Mislintat ekoran kontrak beliau (Monreal) yang tidak kedengaran untuk disambung.


Disebalik khabar angin kuat mengaitkan perpindahan beliau, Monreal akhirnya menutup sedikit gosip perpindahan tersebut apabila mendedahkan mengenai rundingan pembaharuan kontrak beliau bersama kelab (Arsenal).


"Pada masa ini, kami sedang berunding bersama kelab," kata pemain Sepanyol tersebut. 

"Saya selalu berkata saya sangat gembira, saya berasa gembira bermain untuk Arsenal. Saya datang enam tahun lalu. Saya mempunyai hubungan yang baik dengan mereka."

"Kami dalam perbincangan mengenainya, jadi jangan risau. Saya gembira di sini. Itulah perkara yang paling penting. "

Walaupun bakal memasuki usia 33 tahun pada tahun depan (26 Februari), namun beliau tetap bersemangat untuk bermain dan tidak mahu memikirkan soal persaraan untuk sekurang-kurangnya satu musim lagi.

"Kita akan lihat apa yang bakal berlaku tetapi pada masa ini saya berusia 32 tahun dan saya akan memasuki 33 tahun nanti, namun saya masih berasa baik."

"Idea saya adalah untuk bermain bolasepak sehingga badan saya berkata 'Nacho, maaf ianya sudah berakhir'. Tetapi saya fikir ia masih jauh (lambat lagi). Saya berharap demikian."

"Anda tidak pernah tahu kerana badan anda, kadang-kala anda bermula dengan beberapa masalah, beberapa kecederaan dan anda tidak boleh terus memberikan 100 peratus."

"Tetapi pada masa ini saya merasa cukup baik (cergas) jadi saya tidak memikirkan sangat mengenai persaraan saya."

Post a Comment

Previous Post Next Post