Granit Xhaka semakin hampir untuk berpindah keluar dari Arsenal untuk menyertai Roma, menurut Football London.
Pemain antarabangsa Switzerland begitu kuat dikaitkan dengan perpindahan ke Borussia Monchengladbach pada Januari lalu, tetapi pengurus baharu The Gunners, Mikel Arteta berjaya memujuknya untuk kekal berada di Stadium Emirates.
Pemain berusia 28 tahun itu adalah salah seorang pemain terbaik Arsenal musim lalu ketika dia membuat 46 penampilan dalam semua pertandingan.
Namun sebahagian besar peminat dan penyokong Arsenal tidak begitu menggemari Xhaka sejak Oktober 2019 setelah dia membuat isyarat kasar ketika digantikan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Crystal Palace.
Xhaka kemudian dilucutkan jawatan selaku kapten pasukan oleh pengurus ketika itu, Unai Emery berikutan kejadian tersebut.
Semenjak itu, dia sentiasa menjadi perhatian para peminat sukan dan peminat Arsenal yang sentiasa memantau tingkah laku serta prestasinya.
Malah turut tidak ketinggalan untuk memantau Xhaka adalah beberapa kelab dari Itali dengan Inter Milan sebelum ini dikatakan tidak pernah berputus asa untuk mendapatkan khidmatnya.
Kini, sebuah lagi kelab Itali turut meluahkan hasrat sama untuk menandatangani Xhaka iaitu AS Roma.
Menurut laporan media Inggeris itu (Football London), Xhaka dikatakan ingin menjadi sebahagian daripada projek Jose Mourinho di Roma, yang mahu menjadikan pasukan Serie A itu sebuah pasukan yang mampu mencabar kejuaraan.
Mengenai minat Roma yang ingin mendapatkan Xhaka, ia bukanlah perkara baru dimana perkara ini pernah kami laporkan pada hujung bulan lalu (Roma mulakan langkah mendapatkan Xhaka) dan perkembangan terbaru ini mungkin tindakan susulan yang telah dilakukan kelab Itali itu.
Dengan kariernya kini berada dipuncak prestasi, sudah tentu kehadiran Xhaka dapat menyumbang kepada kekuatan barisan tengah Roma dan itu diperkuatkan lagi dengan pengalaman yang dimilikinya.
Sejak berpindah ke Arsenal pada 2016, dia telah membuat lebih dari 200 penampilan di semua pertandingan, membantu The Gunners memenangi dua Piala FA.
Sementara itu, The Gunners juga ingin meningkatkan pilihan barisan tengah mereka menjelang musim baharu.
Mereka dilaporkan berminat untuk menandatangani Hakan Calhanoglu dari AC Milan, menurut wartawan James Benge yang boleh dipercayai.
Another target who Arsenal are understood to have broached internally is Hakan Calhanoglu, out of contract with AC Milan this summer. He is an option, not clear how high on the list he might be but expectation is he's an alternative to Odegaard.
— James Benge (@jamesbenge) June 7, 2021
Selain itu, The Gunners juga berminat untuk menandatangani semula Martin Odegaard, yang menghabiskan separuh kedua musim lalu secara pinjaman di Emirates dari Real Madrid.