Saliba hilang tumpuan, hantaran teruk - Kritikan media Perancis terhadap pemain Arsenal ini.
Kekalahan 4-2 Marseille kepada Galatasaray menyebabkan mereka tersingkir dari saingan Liga Europa walaupun masih berbaki satu perlawanan di peringkat kumpulan.
Pasukan Ligue 1 itu hanya mengumpul empat mata selepas mengharungi lima perlawanan dalam kejohanan itu dan mempunyai perbezaan gol -2.
Sememangnya, keputusan dan kegagalan untuk layak telah menyaksikan media Perancis mencari punca ataupun 'kambing hitam' untuk dijadikan bahan cerita dalam laporan mereka.
Akhirnya, William Saliba dari Arsenal menjadi sasaran mereka untuk dipersalahkan kali ini.
Dipinjamkan ke Marseille musim ini setelah Mikel Arteta masih tidak yakin dengan pemain pertahanan itu bersedia untuk skuadnya, Saliba menerima pujian hebat pada awal kempen di Perancis.
Arsenal dan Arteta seringkali dikatakan sebagai agak bodoh kerana membenarkan pemain berusia 20 tahun itu bermain di tempat lain musim ini, dan pujian untuk pemain itu seolah-olah tidak pernah berakhir sehinggalah baru-baru ini.
L'Equipe memulakan laporan mereka dengan memberi pujian apabila berkata kepantasan Saliba yang agak fenomenal membolehkan dia mampu mengatasi pemain lawan, namun ia tidak dapat menyelamatkannya daripada kedudukan buruk pada perlawanan menentang Galatasaray.
Kutukan itu diberi selepas Ryan Babel berjaya mengatasinya dan mengambil kesempatan menjaringkan gol.
Itu adalah untuk gol keempat Galatasaray dan akhbar Perancis percaya dia juga bersalah untuk gol ketiga.
L'Equipe menyatakan: "Selepas permulaan musim yang hebat, dia telah membiasakan kami dengan kecemerlangan.
"Sejak kebelakangan ini, perubahan konsentrasi dan hantaran-hantaran teruknya telah merugikan dalam Liga Europa.
"Selepaskan melakukan kesalahan menentang Lazio (2-2), dia mengakui dia 'sukar untuk tidur' selepas perlawanan itu.
"Dia pasti mengalami sekali lagi masalah untuk tidur malam tadi juga."
Saliba diberi rating 3/10 untuk persembahannya bagi perlawanan tersebut.